
DALAM bola sepak moden, adalah mudah bagi seorang pemain berusia untuk berasa terancam oleh kehadiran pemain muda yang lebih bertenaga dalam mengisi posisi penting.
Namun, bek kiri Selangor, Fazly Mazlan tidak merasakan tekanan sedemikian walaupun perlu berkongsi peranannya dengan Ahmad Zikri Khalili, yang baru berusia 22 tahun.
Tonggak berusia 31 tahun itu menjelaskan bahawa mereka tidak berada dalam situasi perlu bersaing untuk mendapatkan tempat, kerana pemilihan pemain bergantung kepada perancangan taktikal Katsuhito selaku jurulatih dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
BACA LAGI: Bersinar di Piala Malaysia, saham 3 bintang lokal termasuk 'star' JDT melonjak naik
BACA LAGI: 'Next' Arif Aiman, duo 'homegrown kid' Sri Pahang antara 4 tonggak muda menyinar aksi Piala Malaysia
Berdasarkan sistem penggiliran ini, kedua-dua pemain pertahanan berkenaan digunakan dengan sebaiknya oleh jurulatih kelahiran Jepun itu.
“Kami sentiasa menilai taktik yang digunakan jurulatih berdasarkan lawan yang kami hadapi. Setakat musim ini, saya dan Zikri telah mendapat banyak peluang kerana sistem ini.
“Walaupun terdapat perbezaan umur, komunikasi antara kami sangat baik kerana kami sentiasa berbincang mengenai perlawanan dan cara untuk memperbaiki permainan kami.
“Zikri adalah bakat muda yang sangat menjanjikan dan bakal menjadi aset jangka panjang kepada pasukan. Saya sentiasa bersedia membantu dan membimbingnya apabila diperlukan,” katanya.
Zikri (kanan) antara pemain muda Selangor yang kian meningkat naik. — Facebook/SelangorFC
Fazly kini fokus terhadap perancangan Kinoshi menjelang pertemuan dengan Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu.
Skuad Gergasi Merah menjangkakan cabaran sengit daripada Pahang, yang kini berada dalam momentum terbaik selepas layak ke final Piala Malaysia.
Sebagai bekas pemain Pahang dari 2020 hingga 2021, Fazly memahami kualiti semasa pasukan bimbingan legenda Singapura, Fandi Ahmad.
“Dua pemain yang paling menonjol bagi saya ialah Kpah (Sherman) dan (Manuel) Hidalgo. Mereka bakal menjadi ancaman besar, dan kami perlu memberikan yang terbaik untuk menghalang mereka,” katanya.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut menambah bahawa sokongan penyokong memberikan motivasi tambahan kepada pasukan.
“Dengan sokongan yang mereka berikan kepada kami, kami rasa kami tidak boleh mengecewakan mereka,” katanya.
Selangor kini berada di tangga kedua liga dengan 39 mata daripada 18 perlawanan, manakala Pahang di kedudukan ke-10 dengan 16 mata daripada 16 perlawanan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram