
DALAM bola sepak moden, pengalaman di peringkat antarabangsa sering dianggap sebagai penanda aras kualiti seseorang pemain berikutan ia akan memberi nilai tambah berbeza untuk kelab yang merekrut mereka.
Namun, dalam konteks Liga Malaysia (Liga M), status sebagai pemain kebangsaan di negara sendiri tidak semestinya menjamin kejayaan di pentas domestik kerana sudah banyak tonggak import masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cabaran liga tempatan.
Perkara itu menimbulkan persoalan sama ada pengalaman antarabangsa benar-benar memberi kelebihan kepada pemain atau jika faktor lain seperti gaya permainan liga, kecergasan fizikal, dan proses adaptasi lebih berperanan dalam menentukan prestasi.
BACA LAGI: Bakal bek Malaysia 'keras', Theerathon cedera lutut sampai terlepas musim Liga Thai
BACA LAGI: Hidalgo antara 3 bintang Tok Gajah perlu dirantai andai Selangor mahu 3 mata penuh
Meskipun disifatkan sebagai liga tidak kompetitif, Liga M mempunyai tempo dan keunikan tersendiri, dan tidak semua pemain yang cemerlang di pentas antarabangsa mampu menyesuaikan diri dengan cepat.
Tambahan pula, tekanan tinggi daripada kelab dan penyokong yang mengharapkan pemain import segera memberi impak turut menjadi cabaran buat mereka untuk memberikan aksi berkualiti pada setiap perlawanan.
Kali ini Majoriti menyenaraikan pemain yang memiliki kaps bersama skuad kebangsaan masing-masing masih gagal menyerlah apabila beraksi di Liga M, sekali gus mencerminkan realiti bahawa pengalaman antarabangsa bukan pengukur kualiti mereka;
1) Nelson Bonilla
Bonilla sudah tampil dalam 65 perlawanan bersama El Salvador. — Facebook/TFC
Penyerang antarabangsa El Savador, Nelson Bonilla hadir ke bumi Terengganu pada Ogos lepas adalah sebagai talian hanya untuk menghidup jentera serangan selepas skuad Sang Penyu kehilangan Ivan Mamut akibat masalah kecederaan dihadapinya.
Bonilla yang juga merupakan ketua pasukan skuad kebangsaan El Salvador bagaimanapun sering dikritik penyokong kerana ketumpulannya di depan gol walaupun memiliki pengalaman dan kebolehan.
Pemain berusia 34 tahun itu cukup berpengalaman di saingan antarabangsa apabila pernah beradu dengan bintang bola sepak dunia, Lionel Messi dalam aksi persahabatan El Salvador menentang Inter Miami pada awal tahun ini.
Untuk rekod, Bonilla sudah meledak 20 gol dan lima bantuan jaringan sepanjang 65 perlawanan bersama El Savador. Sebelum berhijrah ke Terengganu pula, Bonilla meledak 39 gol bersama pasukan terakhirnya di Liga Thailand, Sukhothai FC.
Namun, segalanya serba tidak menjadi buat Bonilla bersama pasukan Pantai Timur berkenaan apabila setakat ini, dia hanya mencetak tiga gol dan satu bantuan selepas 10 perlawanan liga domestik.
2) Marc Vales
Vales memiliki 96 kaps bersama Andorra. — Facebook/KDAFC
Pengikut Kedah Darul Aman (KDA) FC pasti masih mengingati Marc Vales yang menyertai skuad Sang Kenari pada 2022 dengan kemasukannya diperlukan bagi membantu kelab Utara berkenaan beraksi dalam Piala AFC.
Namun, kecederaan berulang menyekat bek tengah antarabangsa Andorra itu daripada tampil lebih kerap apabila dia hanya merekodkan 17 penampilan secara keseluruhan dengan tiada satu pun daripadanya diraih di pentas Asia.
Kesukaran untuk merebut tempat bersama Kedah itu membuktikan 96 kaps yang dimilikinya bersama Andorra tidak boleh membantu pasukan Hijau Kuning untuk menghabiskan musim dengan baik. Pada musim berkenaan, Kedah berada di tangga ke lapan Liga Super.
Kini, Vales beraksi di liga bawahan Sepanyol bersama Atletic Lleida selepas menyertai pasukan itu pada pertengahan Ogos lalu, tidak lama setelah meninggalkan sebuah lagi kelab di negara berkenaan, CE Europa.
3) Vathanaka Chan
Vathanaka pernah beraksi bersama Sri Pahang pada musim 2018. — Facebook/PahangFA
Vathanaka Chan pernah beraksi bersama Pahang FA pada 2017 untuk mengukuhkan jentera serangan. Dia merupakan salah satu pemain bintang dari Kemboja dan memiliki reputasi tinggi sebelum menyertai Liga Malaysia.
Dia yang diharapkan menjadi aset berharga untuk skuad Tok Gajah berdasarkan rekod cemerlangnya di liga domestik Kemboja bagaimanapun bergelut untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Malaysia.
Penyerang tengah yang kini berusia 31 tahun itu hanya meledak satu jaringan dan dua hantaran bantuan dalam 11 perlawanan domestik dia diturunkan. Jumlah tersebut sangat sedikit berbanding pengalamannya bersama pasukan kebangsaan Kemboja.
Vathanaka yang debut pada 2013 bersama Kemboja itu memperoleh 49 kaps dan mencetak 18 gol untuk pasukan negaranya.
Untuk rekod, pemain yang mampu beraksi di bahagian sayap itu menyertai PKNS pada musim 2018 dengan Vathanaka diberi kepercayaan tampil dalam 15 perlawanan Liga Super bersama pasukan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram