
KUALA Lumpur (KL) City FC terpaksa melupakan Kejohanan Kelab Asean (ACC) Shopee Cup 2024/2025 lebih awal apabila tewas 0-1 kepada gergasi Thailand, Buriram United di Chang Arena, Buriram, Thailand pada Khamis.
Pasukan tuan rumah jelas berada di kelas mereka tersendiri apabila jelas kelihatan jurang besar antara kedua-dua pasukan di mana Buriram United terlalu unggul untuk mendominasi sepanjang 90 minit permainan.
Meskipun hasrat mereka meneruskan kemaraan ke separuh akhir tidak kesampaian, beberapa pemain skuad The City Boys wajar mendapat pujian selepas tampil memberi persembahan cemerlang dalam perlawanan itu.
BACA LAGI: Label KL City setanding kelab divisyen 3 Thailand, skuad Warga Kota ikut TFC balik kampung
BACA LAGI: Berjaya 'comeback' ikat KL City, fans puji persembahan jentera serangan Tok Gajah
Ketangkasan penjaga gol, Hafizul Hakim dan keampuhan benteng pertahanan yang diketuai oleh bek tengah berpengalaman skuad Warga Kota iaitu Giancarlo Gallifuoco jelas menyukarkan Buriram untuk menambah jaringan.
Kekuatan yang dimiliki pemain kelahiran Sydney, Australia membuatkan Theerathon Bunmathan mengalami kecederaan serius selepas berlaku pelanggaran bersama Gallifuoco pada masa kecederaan babak pertama.
Gallifuoco melakukan terjahan ke arah lawan dan berlanggar dengan lutut Theerathon. Bek kiri itu jelas tidak dapat mengelak perlanggaran kuat itu, menyebabkan lututnya mengalami kecederaan teruk.
Perlanggaran tersebut serta-merta memaksa pemain antarabangsa Thailand itu meninggalkan padang dengan ambulans. Walaupun Gallifuoco hanya menerima kad kuning atas tindakannya, dia kelihatan terkejut dengan kecederaan serius yang telah berlaku.
Gallifuoco (kanan) dicanang akan menjadi bek naturalisasi Harimau Malaya. — Facebook/BuriramUnited
Memetik laporan Lao Dong, kecederaan itu berkemungkinan besar menyebabkan Theerathon terlepas perlawanan penting antara Buriram dan BG Pathum United dalam pusingan 16 pasukan Piala Liga Thailand pada 26 Februari.
Untuk rekod, sebelum meninggalkan padang, Theerathon sempat mencipta satu bantuan gol yang membantu rakan sepasukannya menjaringkan satu-satunya gol perlawanan pada minit ke-37, sekali gus memastikan kemenangan 1-0 Buriram.
Dalam pada itu, aksi cemerlang yang ditunjukkan Gallifuoco jelas akan memberi nilai tambah kepada Harimau Malaya selepas bek berusia 31 tahun berkenaan dikhabarkan akan menjadi calon pemain naturalisasi baharu negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram