
KERAIAN bersifat sederhana dipilih Selangor FC usai mereka menempah slot ke perlawanan akhir MFL Challenge Cup meskipun tahu pencapaian tersebut membuka peluang buat kelab tersebut menamatkan kemarau kejuaraan.
Ini kerana skuad Gergasi Merah tahu penyokong juga tidak terlalu gembira dengan pencapaian tersebut kerana mereka sepatutnya bersaing bagi pertandingan lebih berprestij di peringkat domestik.
Namun, kekecewaan memalukan dialami di pentas akhir Piala FA selain momentum tidak menentu dalam Liga Super menyaksikan kelab Lembah Klang tersebut tidak berpeluang mendakap trofi terbabit.
BACA LAGI: Terlalu yakin antara 3 punca Selangor 'terjerumus' ke saingan Piala Cabaran
BACA LAGI: Kinoshi anggap aksi final MFL Challenge Cup peluang Selangor gembirakan penyokong
Semangat skuad Tok Gajah berkobar-kobar selepas melangkah ke final Piala Malaysia. — Facebook/Sri Pahang FC
Bagaimanapun, Selangor FC masih berpeluang membawa kegembiraan kepada penyokong memandangkan ruang buat mereka layak ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two masih terbuka luas.
Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi berkenaan memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pesaing terdekat, Sabah FC yang beraksi kurang satu perlawanan dengan momentum jelas memihak skuad Gergasi Merah.
Tetapi, sekiranya mereka mahu mengekalkan jurang luas itu, kemenangan perlu direkodkan apabila mereka menerima kunjungan finalis Piala Malaysia 2024/25, Sri Pahang FC dalam pertembungan di Stadium MBPJ, Selangor pada Sabtu.
Peluang besar sememangnya dimiliki Selangor FC untuk membawa pulang tiga mata penuh, lebih-lebih lagi jika Kinoshi mengarahkan anak-anak buahnya memberi tumpuan kepada tiga bintang pasukan pelawat.
1. Manuel Hidalgo
Tidak boleh dinafikan bahawa tonggak utama skuad Tok Gajah ialah pemain sayap mereka, Manuel Hidalgo yang kerap mencipta gerakan menerusi gelecekan memukau mahupun hantaran mengelirukan dari sebelah sayap.
Sejak menyertai Sri Pahang FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT), import kelahiran Argentina tersebut berjaya meneruskan momentum cemerlang dengan tujuh gol dan tiga bantuan jaringan direkodkan daripada 19 penampilan secara keseluruhan.
Kelicikan Hidalgo di atas padang perlu diasak Selangor FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Statistik tersebut sudah cukup untuk menceritakan bagaimana pemain sayap itu perlu dikekang bagi memastikan Sri Pahang FC tidak mudah merobek gawang skuad Gergasi Merah pada Sabtu ini.
Malah, Hidalgo juga lebih bertenaga berbanding rakan-rakan sepasukannya yang lain kerana dia tidak diturunkan ketika pasukannya berdepan Sabah FC dalam pertembungan separuh akhir kedua akibat layangan kad merah.
Tugasan itu pasti akan dipikul sama ada Ahmad Zikri Khalili atau Fazly Mazlan yang berkemungkinan beraksi sebagai bek kiri Selangor FC dengan pemain yang dipilih akan diputuskan Kinoshi pada hari perlawanan.
2. Kpah Sherman
Sekiranya hendak dibandingkan dengan sumbangan musim lalu, pulangan Kpah Sherman di hadapan pintu gol menunjukkan kemerosotan ketara yang juga mencerminkan ketumpulan barisan serangan skuad Tok Gajah ketika ini.
Lima gol dan bantuan jaringan tunggal dicatatkan selepas 13 penampilan Liga Super menunjukkan penyerang kebangsaan Liberia itu bukanlah seorang lagi pemain prolifik di posisi serangan.
Namun, kehadirannya masih perlu diawasi Selangor FC kerana 'kuda tua' Sri Pahang FC tersebut memiliki kelebihan dari segi fizikal yang boleh membuka ruang buat rakan sepasukannya.
Kpah masih mampu memberi ancaman terhadap pihak lawan. — Facebook/Sri Pahang FC
Hal tersebut dapat disaksikan dalam tiga pertembungan antara kedua-dua pasukan musim ini apabila benteng pertahanan skuad Gergasi Merah bergelut untuk mengekang penyerang terbabit.
Jadi, Kinoshi perlu mencari jalan terbaik bagi memastikan Kpah tidak dapat mencipta peluang buat rakan sepasukannya dengan kepercayaan itu perlu dipikul Safuwan Baharudin sebagai tonggak utama benteng pertahanan.
Pemain kebangsaan Singapura tersebut juga perlu diberi sokongan oleh rakan sepasukan seperti Sharul Nazeem Zulpakar atau Mohammad Abualnadi yang seharusnya mengerah kudrat dalam mengekang pemain berusia 33 tahun berkenaan.
3. Ibrahim Manusi
Saham dua pemain tengah Tok Gajah, Ibrahim Manusi dan Saiful Jamaluddin melonjak naik sejak pasukan Pantai Timur tersebut mengejutkan ramai pihak berikutan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.
Namun, pujian lebih besar harus diberikan kepada Ibrahim atau juga dikenali sebagai Baim kerana ketenangannya mengawal rentak pasukan menjadikannya aset utama Sri Pahang FC.
Dia yang lebih kerap beraksi kebelakangan ini berjaya mencuri perhatian ramai, terutamanya selepas pertembungan separuh akhir menentang Sabah FC sehingga kehadirannya menepikan senior pasukan, Nor Azam Azih.
Ibrahim (kiri) menampilkan aksi matang meskipun baru berusia 23 tahun. — Facebook/Sri Pahang FC
Meskipun tidak melakukan sebarang sumbangan di hadapan pintu gol, pemain berusia 23 tahun terbabit masih perlu diawasi kerana kegagalan mengekangnya akan menjadikan bahagian tengah Selangor FC semakin kucar-kacir.
Antara pendekatan terbaik untuk menghalang Ibrahim daripada membawa impak besar terhadap perlawanan adalah dengan memastikan 'ubi muda' Sri Pahang FC itu tidak menerima bola secara kerap.
Kepercayaan itu boleh diberikan kepada Alex Agyarkwa atau Nikola Jambor yang masing-masing perlu menghalang bola diberikan kepadanya atau mengelakkan bintang skuad Tok Gajah tersebut daripada melakukan hantaran berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram