Meledak bersama Kedah musim lalu, saudara Teerasil Dangda sah sambung kontrak


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

Persatuan Bola Sepak Kedah mengesahkan kontrak Nattawat Luksanato disambung hingga 2025. — Agensi

WALAUPUN hadir sebagai pencabar baharu dalam saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2025, Kedah tidak mahu sekadar pengisi jadual apabila memperkenalkan bintang berkualiti mereka.

Tahun lalu, pasukan berpangkalan di Utara tanah air berkenaan beraksi di divisyen kedua namun berhasil dinaikkan pangkat ke kejohanan utama selepas menamatkan saingan di tangga kedua.

Kedudukan tersebut sudah cukup untuk meletakkan mereka di liga teratas bagi kempen akan datang seperti mana dinyatakan penganjurnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran.

BACA LAGI: Kempen MPFL makin mencabar, bekas tonggak Sabah jadi pilihan Pahang Rangers

BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL

Dalam memastikan pasukan menjadi antara pencabar terkuat MPFL 2025, Kedah mengambil insiatif untuk mengekalkan mesin gol mereka iaitu Nattawat Luksanato yang difahamkan kontraknya disambung hingga 2025.

Pemain kelahiran Thailand berkenaan merupakan watak utama pada kempen musim lepas termasuk Piala Futsal Malaysia 2024 dan Luksanato berhasil menghimpun 15 jaringan gol dalam 13 perlawanan dia diturunkan.

"Pemain import dari Thailand yang mesra dipanggil 'Faeng' ini terus menjadi sandaran utama pasukan selepas mempamerkan aksi luar biasa pada musim lalu. Dalam 13 penampilan, dia telah meledak 15 gol, termasuk tiga kali jaringan hatrik.

"Dia membantu Kedah muncul naib juara Divisyen 2 MPFL 2024 serta membawa cabaran Kedah hinggan ke saingan suku akhir Piala Futsal Malaysia 2024. Pengalaman dan ketajaman bekas pemain kebangsaan Thailand di posisi pivot ini masih berbisa!

"Musim 2025 bakal menyaksikan dia akan kembali menggegar gelanggang dengan misi membawa Kedah ke puncak tertinggi dalam Arena Futsal Malaysia. Faeng juga tekad membantu Kedah memberi cabaran dalam saingan Divisyen 1 MPFL 2025," kata Persatuan Bola Sepak Kedah dalam hantaran Facebook pada Khamis.

Untuk rekod, Luksanato merupakan saudara terdekat kepada penyerang prolifik Thailand, Teerasil Dangda. Tidak hairan ketajamannya di hadapan gawang membuat pasukan lawan berhati-hati.

TEERASIL

Teerasil merupakan saudara dekat Luksanato. — Agensi

Selain Luksanato, skuad bimbingan Aidiel Boon Abdullah juga berjaya membawa masuk bintang dari Paraguay, Shammir Olmedo. Khidmatnya akan digunakan untuk menjadi benteng kukuh di posisi fixo.

Berpengalaman beraksi di beberapa kelab ternama, Olmedo pernah menyarung jersi Cerro Porteño di Paraguay sebelum berhijrah ke Mexico bersama Simón Bolívar untuk membantu pasukan menjuarai Copa de Oro 2022.

Mengikut rekod, rekrut baharu Kedah tersebut juga pernah dipanggil mewakili negaranya dalam Copa Centroamericana de Futbol Unificado dengan kehadirannya membantu pasukan itu membawa pulang pingat gangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram