Terlalu yakin antara 3 punca Selangor 'terjerumus' ke saingan Piala Cabaran


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

Gergasi Merah tidak berjaya untuk mendapatkan apa-apa trofi besar pada musim 2024/2025. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC berhasil mara ke peringkat akhir Piala Cabaran MFL 2023 selepas berhasil menang 2-0 secara agregat ke atas Penang FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Ahad.

Skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi itu berjaya melangkah ke final Piala Cabaran. sekali gus memberikan bukan satu tetapi dua kesempatan untuk dilunaskan dengan PDRM FC menjadi halangan terakhir daripada mendakap trofi terbabit.

Sekiranya skuad Gergasi Merah berjaya menjulang trofi berkenaan, ini adalah kali pertama buat mereka mengisi ruang kabinet piala dalam tempoh sedekad selepas kali terakhir memenangi trofi iaitu Piala Malaysia 2015.

BACA LAGI: Kinoshi anggap aksi final MFL Challenge Cup peluang Selangor gembirakan penyokong

BACA LAGI: Selangor patut bersaing di pentas akhir Piala Malaysia, bukannya final Piala Cabaran — Ramon Marcote

Meskipun sudah sukses ke pusingan akhir Piala Cabaran, penyokong bagaimanapun masih terkenang Gergasi Merah tidak berjaya untuk mendapatkan apa-apa trofi besar pada musim 2024/2025.

Perkara itu juga dipersetujui oleh bekas jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote yang nyata terkejut pasukan gergasi itu tidak meneruskan perjuangan di Piala Malaysia apatah lagi tewas di kaki Tok Gajah.

Tidak pasti mana silapnya, namun kali ini Majoriti cuba merungkai tiga punca Gergasi Merah terbuang ke Piala Cabaran;

1) Pertukaran jurulatih

KINO

Kinoshi diumumkan sebagai ketua jurulatih Selangor pada November 2024. — Facebook/Selangor FC

Salah satu transisi besar yang terjadi dalam kem Selangor FC adalah perubahan jurulatih dalam tempoh setahun melibatkan Tan Cheng Hoe (September 2024-Februari 2024), Nidzam Jamil (Mac 2024-Oktober 2024) dan terbaharu, Katsuhito Kinoshi.

Selepas mengambil tanggungjawab daripada Cheng Hoe, Nidzam hanya sempat melatih Gergasi Merah selama lapan bulan dan membantu mereka muncul naib juara Piala FA musim ini, serta menduduki tempat teratas Kumpulan H untuk saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Daripada DNA lokal kepada DNA Jepun, Kinoshi juga pada awalnya kelihatan bergelut untuk menyesuaikan diri apabila merekodkan seri dan dua kekalahan dalam tiga perlawanan awalnya bersama Selangor.

Perubahan tiga kali jurulatih ini jelas menyukarkan pemain untuk menyesuaikan diri susulan masing-masing mereka mempunyai falsafah permainan tersendiri. Pemain perlu menyesuaikan diri dengan strategi baharu, mungkin berbeza daripada yang mereka biasa gunakan.

2) DNA Jordan

jordan

Skuad Gergasi Merah cenderung mengambil pemain import dari Jordan. — Facebook/Selangor FC

Piala Asia 2023 menyaksikan kualiti skuad kebangsaan Jordan berada pada tahap berbeza dan lebih manis apabila pasukan itu berjaya mara ke pentas final Piala Asia buat kali pertama selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 di pusingan separuh akhir pada Februari lepas.

Skuad The Chivalrous Ones bagaimanapun tidak berjaya merangkul trofi Piala Asia berikutan tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah, Qatar. Walaupun hanya dinobatkan sebagai naib juara tetapi pemain Jordan berhasil menambat kelab luar negara termasuk Selangor.

Usai kejohanan itu, Gergasi Merah menandatangani tiga pemain Jordan iaitu Ali Olwan, Mohammad Abualnadi dan Reziq Bani Hani. Ia menjadikan empat tonggak dari negara berkenaan termasuk Noor Rawabdeh yang tiba pada musim 2023.

Bagaimanapun, tidak semua DNA Jordan menjadi apabila Reziq Bani sekadar bertahan selama lima bulan selepas hanya merekodkan dua gol dan satu bantuan jaringan daripada 10 penampilan buat skuad Gergasi Merah.

Malah, Ali Olwan yang dimasukkan untuk membantu bahagian serangan juga tidak menunjukkan impak memuaskan apabila sekadar meledak tiga gol dan satu bantuan jaringan selepas 14 aksi dia diturunkan.

3) Terlalu yakin

ayron

Musim lalu, Ayron menjaringkan 24 gol dan enam 'assist' buat Selangor sepanjang 31 penampilannya bersama Gergasi Merah. — Selangor FC

Selain dua aspek berkenaan, sikap terlalu yakin Selangor FC juga menjerat diri susulan pasukan Lembah Klang itu kelihatan tidak banyak membuat perubahan untuk membina pasukan mantap bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Gergasi Merah yang terlalu bergembira layak ke saingan ACL2 menjadikan mereka seolah-olah bersikap sambil lewa dan kurang fokus terhadap kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia.

Sepatutnya, skuad Gergasi Merah merangka pasukan mereka lebih awal dengan membawa masuk tonggak berkualiti dan bukannya merekrut penyerang yang kurang klinikal di bahagian serangan.

Lihat sahaja musim ini, Gergasi Merah membawa masuk Ronnie Fernandez yang hanya mencetak 10 gol dalam 27 perlawanan diharungi dan membuang penyerang jauh lebih berkualiti iaitu Ayron del Valle.

Penyerang kelahiran Colombia berkenaan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim 2023 selepas menghimpun 24 gol dalam 26 perlawanan tetapi jodoh bersama Selangor FC tidak berpanjangan apabila Ayron menyambung kariernya di Bolivia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram