
PELUANG Terengganu FC menamatkan kemarau kejuaraan terpadam selepas mereka gagal meloloskan diri ke peringkat kalah mati Piala Shopee setelah hanya menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga keempat.
Dua kekalahan dialami, termasuk ketika berdepan BG Pathum United pada Rabu menyaksikan mereka tidak dapat meneruskan kemaraan dengan tiket itu menjadi milik kelab Thailand berkenaan serta PSM Makassar dari Indonesia.
Nasib dialami pasukan Pantai Timur itu pasti sukar diterima penyokong yang pada awal musim memasang cita-cita tinggi bagi skuad Sang Penyu di peringkat domestik dan Asia Tenggara.
BACA LAGI: Sumbat 7 gol lawan KDN, Perak dicabar terus konsisten buru kedudukan Top 5 Liga Super
BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa
Akhyar meletakkan skuad Sang Penyu di hadapan pada minit ke-66 permainan. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, keputusan tidak konsisten selain kecederaan dialami beberapa tonggak utama menyaksikan mereka tidak dapat menamatkan penantian lebih 10 tahun untuk menjulang trofi.
Lebih mengecewakan lagi, harapan skuad Sang Penyu untuk melakar senyuman pada penghujung musim dengan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two 2025/26 juga kelihatan sukar untuk direalisasikan.
Ini kerana pasukan bimbingan Badrul Afzan Razali yang kini di tangga keempat Liga Super dibezakan dengan 15 mata berbanding Selangor FC yang selesa di kedudukan kedua.
Jadi, dengan peluang untuk beraksi di pentas Asia semakin tipis, penyokong Terengganu FC pasti berasakan musim 2024/25 adalah satu kegagalan sekiranya hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini.
Bagaimanapun, bagi legenda Terengganu, Che Ku Marzuki, skuad bimbingan Badrul Afzan Razali perlu menamatkan kempen Liga Super kali ini di tangga ketiga supaya dapat kembali melayakkan diri ke pertandingan tersebut.
Skuad Sang Penyu berputih mata selepas tewas kepada BG Pathum United. — Facebook/ASEAN United FC
"Harapan Terengganu FC sekarang adalah untuk berada di kedudukan ketiga Liga Supar sahaja. Itu sahaja harapan yang ada untuk sekurang-kurangnya dapat beraksi sekali lagi dalam Piala Shopee," katanya kepada Majoriti.
Skuad Sang Penyu diberikan peluang beraksi dalam kejohanan yang julung kali diadakan itu selepas muncul naib juara dalam Piala Malaysia 2023 sementara sebuah lagi wakil negara, Kuala Lumpur (KL) City dipilih kerana muncul finalis Piala FA.
Meskipun setiap kemenangan tidak memberi impak terhadap ranking Liga Super menurut AFC, penyertaan mereka menawarkan minit permainan terhadap pemain selain sumber kewangan yang lumayan.
Jadi, sekiranya Terengganu FC mampu memintas Sabah FC untuk ke kedudukan ketiga liga, mereka pasti akan mengambil peluang terbabit dengan harapan dapat memberikan saingan lebih hebat selepas ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai punca kekalahan skuad Sang Penyu ketika berdepan BG Pathum United, Che Ku beranggapan pemain gagal menampilkan persembahan terbaik di gelanggang lawan.
Terengganu FC dan KL City FC dipilih ke Piala Shopee selepas muncul finalis Piala FA dan Piala Malaysia. — Facebook/Terengganu FC
"Peluang ke separuh akhir Piala Shopee memang ada walaupun bermain di tempat lawan dengan jaringan awal sudah diperolehi. Tetapi, kelemahan ketara semasa bertahan kerana pemain tengah lambat membantu barisan pertahanan.
"Dua bek tengah (Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan) lambat bergerak. Sayap kiri baik dari segi menutup ruang, tetapi sayap kanan lemah ketika menyerang, tetapi lemah semasa situasi bertahan.
"Pergerakan pemain untuk mencari kemenangan, baik dari segi bertahan mahupun menyerang (seperti) tiada perubahan. Rentak permainan perlahan seperti beraksi main di laman sendiri dan sepatutnya setiap pemain dapat beri 100 peratus terutamanya dari segi semangat juang dan kecergasaan," katanya lagi.
Skuad Sang Penyu masih memiliki lapan perlawanan berbaki untuk kempen Liga Super 2024/25 dengan aksi menentang Negeri Sembilan FC pada Ahad merupakan ruang terbaik bagi mereka memperbaiki kelemahan di samping menebus kekecewaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram