Sumbat 7 gol lawan KDN, Perak dicabar terus konsisten buru kedudukan Top 5 Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Perak perlu lebih konsisten untuk mencabar kedudukan atasan Liga Super. — Facebook/Perak FC

KELAB Liga Super, Perak FC menampilkan persembahan memukau apabila mereka berjaya menumbangkan Kelantan Darul Naim FC (KDN), 7-0 pada Ahad.

Kemenangan itu amat disambut baik oleh penyokong, walaupun mereka berdepan lawan yang bermasalah di dalam dan luar padang, tetapi jumlah jaringan yang terhasil memuaskan mereka.

Bagi penyokong yang hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Manjung tempoh hari, mereka amat berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan para pemain Perak untuk meraih tiga mata.

BACA LAGI: Clayton puas bantu Perak pecah rekod JDT, YCL harap pemain KDN tak putus asa

BACA LAGI: Lenjan KDN 7 gol tanpa balas, fans samakan Perak persis Liverpool

475196207_624559893457723_1645431048068342258_n

Clayton (tengah) jaringkan empat gol bertemu KDN. — Facebook/Perak FC

Lebih-lebih lagi persembahan pemain import, Clayton Silva yang menghasilkan empat gol dalam perlawanan tersebut sambil Luciano Guaycochea, Adilet Kanybekov dan Tommy Mawat turut menghasilkan jaringan.

Kemenangan besar yang diraih bukanlah tanda untuk Perak mendabik dada. Sebaliknya, skuad Yusri Che Lah dicabar untuk terus konsisten dalam saingan liga.

Penyokong mahukan Perak terus mencabar kedudukan lima terbaik di Liga Super. Buat masa sekarang, mereka ditempat kelima dengan 22 mata selepas 18 perlawanan.

Namun begitu, Perak boleh dipintas oleh Kuching City FC yang dibelakang mereka dengan satu mata dan bermain kurang tiga perlawanan.

Begitu juga dengan Terengganu FC yang menduduki tempat keempat, mereka di depan Perak dengan dua mata dan mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Oleh itu, The Bos Gaurus perlu lebih tajam dan konsisten. Selepas memecahkan rekod kemenangan besar milik Johor Darul Ta'zim (JDT), apalah guna jika Perak tidak mampu terus mencabar kedudukan atasan liga.

"Sekadar pendapat, kalau ikutkan asal menang je, cukuplah tiga mata tak kira 1-0 ke, 2-1 ke, 3-2 ke asalkan menang. Tapi kalau tengok berderet-deret peluang depan mata boleh cecah 15-0 Yob! Menang 7-0 ni ALHAMDULILLAH. Semoga kekal momentum untuk perlawanan seterusnya supaya kekal di Top 5 dan perlahan-lahan cuba pintas Terengganu," kata penyokong bernama Syahrul Sarip.

"Ini perlawanan liga, lawan pasukan lemah atau bermasalah memang kena menanglah. Menang dapat mata, ada kesempatan kita ambil tiga mata. Kalau tak menang lagi penyokong bengang. Ini bukan perlawanan amal, kalau nak simpati dengan kelab bermasalah biarlah di luar padang. Atas padang kena buang simpati, sebab ini perlawanan liga," komen akaun menggunakan nama Seniman Menangis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram