Kehadiran Johor Jewels meriahkan hampir 200 peserta Klinik NSL di Johor


  • Podium
  • Jumaat, 07 Feb 2025

Barisan kejurulatihan serta pemain Johor Jewels hadir memeriahkan Klinik NSL yang diadakan di Velodrome Iskandar Puteri, Johor.

DALAM usaha menghangatkan lagi sukan bola jaring dalam negara, Astro sebagai pengelola Liga Super Bola Jaring (NSL) tampil menganjurkan Klinik NSL bagi mengasah bakat 'ubi muda'.

Program yang sebelum ini hanya dianjurkan sekitar Lembah Klang dipergiatkan apabila baru-baru ini, mereka memperluaskan usaha tersebut ke luar kawasan dengan mengadakannya di Velodrome Iskandar Puteri, Johor.

Lebih menarik lagi, Klinik NSL yang diadakan julung kali di luar Lembah Klang menyaksikan kehadiran pemain serta barisan kejurulatihan Johor Jewels yang merupakan juara bertahan pertandingan itu.

BACA LAGI: Mudah tewaskan Perak-Negeri Sembilan, kehilangan tonggak Johor Jewels cetus spekulasi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Winning mentality' JDT jadi resepi Johor Jewels catat rekod tanpa kalah NSL

Klinik NSL 2025 musim ini telah diadakan di Johor bagi menyokong pembangunan bola jaring di negeri itu.

Klinik NSL 2025 musim ini diadakan di Johor bagi menyokong pembangunan bola jaring di negeri itu.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, program itu disertai kira-kira 200 pemain cilik sekitar negeri Selatan tanah air berkenaan yang enggan melepaskan peluang keemasan itu.

"Ini adalah kali kedua Klinik NSL diadakan selepas Klinik NSL di Sports Arena, UNITEN, Selangor. Penyertaan untuk Klinik NSL di Johor amat memberangsangkan yang mana anak-anak johor dari setiap daerah bersemangat untuk hadir seawal pukul 7 pagi bersama ibu-bapa.

"Selepas ini, satu lagi Klinik NSL akan diadakan di Stadium Kiara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 15 Februari ini. Ini adalah permulaan dan mungkin selepas ini. Klinik NSL akan menjelajah ke negeri-negeri yang lain pula pada musim akan datang,” katanya.

Dalam program yang diadakan di Selatan tanah air itu, tonggak Johor Jewels seperti Fariha Razak, An Najwa Azizan dan Pow Mei Foong tampil memeriahkan acara berkenaan selain sempat memberi tunjuk ajar kepada peserta.

Peserta juga berpeluang bermain bersama Johor Jewels

Peserta diberi tunjuk ajar serta peluang bertemu pemain Johor Jewels ketika Klinik NSL itu.

Jelas Nicholas lagi, Astro sentiasa memperkasakan program akar umbi dan pembangunan sukan demi memupuk semangat dan minat generasi muda untuk aktif dalam bidang sukan seperti sukan bola jaring ini.

"Selain mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada jurulatih bertauliah, peserta juga dapat beramah mesra dan berpeluang bermain bersama idola dan pasukan Johor Jewels dalam perlawanan persahabatan yang diadakan," katanya lagi.

Klinik NSL yang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) akan turut diadakan di sekolah terpilih bagi menghangatkan lagi kejohanan NSL musim keempat yang sudah membuka saingan pada Sabtu lalu hingga 23 Februari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram