Mudah tewaskan Perak-Negeri Sembilan, kehilangan tonggak Johor Jewels cetus spekulasi


  • Podium
  • Selasa, 04 Feb 2025

Antara aksi Johor Jewels menentang Negeri Sembilan Venom di Stadium Juara pada Ahad. — Facebook/NSL

JUARA bertahan Netball Super League (NSL), Johor Jewels memulakan musim mereka dengan melakar dua kemenangan berturut-turut selepas tiada masalah menewaskan Perak Phoenix dan Negeri Sembilan Venom.

Perlawanan pertama di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu itu menyaksikan Tracey menurunkan tonggak utamanya seperti An Najwa Azizan, Pow Mei Foong dan Adri Kannemeyer di barisan hadapan.

Aksi pertama pasukan kendalian Tracey Robinson bermula dengan kejutan apabila mereka terpaksa bermandi peluh untuk menghalang Perak memimpin permainan hingga akhirnya kemenangan tipis 51-49 diraih skuad Jewels.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas tonggak Kedah Sunshine sanggup kerja lebih bantu Terengganu Marvels di NSL

BACA LAGI: Bola jaring: Peserta sulung lelaki antara 200 peserta hadir memeriahkan Klinik NSL 2025

Memasuki hari kedua perlawanan menentang Negeri Sembilan Venom, skuad Jewels membuat beberapa pertukaran dengan merehatkan pemain berpengalaman seperti Mei Foong dan An Najwa bagi memberi kepada kudrat muda.

Kepercayaan yang diberikan kepada Puteri Intan Balqis selaku goal shooter (gs) dibalas dengan kemenangan bergaya apabila merekodkan keputusan 64-27 ke atas pasukan bimbingan Fatimah Salleh.

Kejayaan mereka mendapatkan enam mata dalam dua perlawanan itu bagaimanapun tidak dapat menghentikan penyokong Jewels daripada bertanya keberadaan An Najwa pada aksi menentang skuad Venom.

"Nak tanya, kenapa An Najwa tidak main semalam," tanya penyokong Johor Jewels, Zawinah Mohd Lelah.

"An Najwa cedera ke atau direhatkan sahaja," persoal pengikut pasukan Selatan tanah air itu, Azie Hamzah.

Persoalan tersebut diajukan penyokong mereka selepas nama tonggak kebangsaan berusia 28 tahun itu turut tidak kelihatan pada senarai pemain simpanan untuk menentang Negeri Sembilan Venom.

Khidmat An Najwa pasti diperlukan untuk tiga perlawanan minggu ini bertemu Terengganu Marvels (7 Februari), Putrajaya Dynamites (8 Februari) dan menentang Kuala Lumpur Wildcats pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram