[VIDEO] 'Winning mentality' JDT jadi resepi Johor Jewels catat rekod tanpa kalah NSL


  • Podium
  • Isnin, 30 Okt 2023

Antara aksi pemain Johor Jewels menentang skuad Putrajaya. — Facebook/NSL

JOHOR Jewels kekal mempertahan rekod tanpa kalah dalam saingan Netball Super League (NSL) 2022 selepas membenam Putrajaya Dynamites dengan keputusan 48-40 dalam perlawanan ketujuh di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Ahad.

Kemenangan itu juga berhasil memastikan pasukan Selatan tanah air itu membawa cabaran ke separuh akhir kejohanan NSL dan seterusnya dijadual menentang Perak Phoenix pada Sabtu depan di venue sama.

Bercakap megenai resipi kejayaan skuad Jewels dalam mempertahankan kemenangan mereka dalam tujuh perlawanan, pengendalinya, Tracie Robinson menyatakan bahawa mentaliti juara seperti Johor Darul Takzim (JDT) turut diterapkan dalam pasukannya.

Tracie berkata, kejayaan Harimau Selatan berhasil mempertahankan kejuaraan Liga Super selama 10 musim berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa dan disebabkan itu dia menjadikan pencapaian JDT sebagai inpirasi kepada Johor Jewels.

WhatsApp Image 2023-10-30 at 21.22.14 (1)

Tracie ketika bersama barisan pemain Jewels. — Facebook/NSL

“Kami juga mencontohi winning mentality dari JDT dan saya gembira melihat para pemain bertambah baik dari satu perlawanan ke perlawanan dan sentiasa mempunyai mentaliti kemenangan untuk tidak membenarkan lawan bangkit menewaskan kami.

“Ianya adalah perkara yang paling sukar dan melihat bagaimana JDT lakukannya 10 kali berturut-turut adalah sesuatu yang luar biasa. Untuk menang berganda sangat sukar kerana lawan mula mengkaji permainan kami tetapi kami akan ambil satu demi satu perlawanan terlebih dahulu.

"Seperti saya cakap dengan anak-anak buah saya, bukan di final tapi di setiap pusingan kami nak ada penambahbaikan. Sudah tentu JDT menjadi inspirasi kami kerana untuk sesebuah pasukan itu menang 10 kali berturut-turut sudah tentu mereka lakukan sesuatu yang tepat," katanya kepada Majoriti selepas ditemui pada perlawanan Jewels menentang Putrajaya.

Bekas pengendali skuad bola sepak kebangsaan itu juga melahirkan perasaan gembiranya kerana mendapat sokongan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam sebagai Penaung Diraja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor.

Menjelang aksi separuh akhir menentang skuad Phoenix, Tracie tidak menafikan kemenangan adalah penting untuk Jewels namun dia lebih gemar untuk melihat peningkatan dari segi skil bagi setiap pemainnya.

"Kami akan buat persiapan seperti biasa. Bagi kami ia adalah mengenai bagaimana untuk meningkatkan permainan. Dan perlu tenang untuk menjaga tingkah laku dalam court. Kami perlu melawan tapi juga perlu tenang dalam pertempuran ini.

"Meningkatkan kemahiran adalah penting untuk kami. Saya nak pemain Johor Jewels menjadi semakin baik. Kemenangan penting namun peningkatan kemahiran setiap pemain lagi penting," jelasnya.

Selain aksi separuh akhir antara Johor dan Perak Phoenix, Putrajaya juga perlu mengatasi Kuala Lumpur (KL) Wildcats untuk mara ke final yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di Stadium Juara, Bukit Kiara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram