'Akhirnya merasa main bola semula', bek kiri Man United beri respons usai sukses pindah ke kelab Belanda


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Malacia (kiri) kembali ke Belanda secara pinjaman ke PSV Eindhoven. — Agensi

MANCHESTER United secara rasmi mengesahkan perpindahan terakhir mereka dalam jendela perpindahan kali ini dengan kembalinya Tyrell Malacia ke Belanda secara pinjaman ke PSV Eindhoven.

Jendela perpindahan United ditutup dua hari lepas, namun dua perpindahan diumumkan pada Selasa. Ruben Curley telah dijual kepada Stoke City, manakala penghijrahan Malacia ke PSV hanya dimuktamadkan pada Selasa.

Walaupun pemain pertahanan kiri itu sudah berada di Eindhoven pada Isnin, laporan dari Belanda menyebut bahawa PSV masih menunggu dokumen rasmi daripada Manchester United sebelum perpindahan dapat disahkan.

BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan Manchester United, Antony terus dapat MOTM aksi debut bersama Real Betis

BACA LAGI: 'Berubahlah', Amorim beri nasihat buat Rashford demi selamatkan karier di Man United

PSV mendapatkan Malacia secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli pada harga £8 juta (RM44 juta). Selain itu, kelab Eredivisie tersebut akan menanggung keseluruhan gaji Malacia yang bernilai £80,000 (RM442,000) seminggu.

Lewat malam Selasa, perpindahan Malacia menjadi rasmi selepas dia dan akaun Instagram PSV berkongsi gambar dirinya dalam jersi PSV sambil memuat naik kapsyen, 'Selamat datang ke Eindhoven, Tyrell.'

Kapten Manchester United, Bruno Fernandes turut memberi reaksi di ruangan komen dengan menulis, 'My Guy' diikuti dengan emoji hati.

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Malacia di United, Aaron Wan-Bissaka juga memberikan sokongan dengan meninggalkan emoji tabik dan hati.

Setelah pengumuman rasmi dibuat, PSV berkongsi kenyataan pertama Malacia sebagai pemain mereka. Dalam temu bual bersama media PSV, Malacia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya kembali ke negara kelahirannya.

"Saya gembira berada di sini. Akhirnya dapat bermain bola sepak semula. Saya baru pulih daripada kecederaan panjang, tetapi kini saya sudah cergas dan tahu masa saya akan tiba semula.

"Dalam setiap tempoh sukar, pasti ada elemen positif, dan dalam situasi ini, saya menjadi lebih kuat dari segi fizikal dan mental. Saya kini lebih bersabar, lebih matang, lebih memahami tubuh badan saya dan banyak lagi.

"Saya bersedia untuk meledak gol dan semoga dapat memenangi banyak trofi bersama PSV," katanya memetik kenyataan PSV.

Pengarah bola sepak PSV, Earnest Stewart turut berkongsi keterujaan terhadap kehadiran Malacia.

"Kami sangat gembira menyambut Tyrell, seorang pemain yang boleh memberikan impak segera kepada PSV. Tyrell mempunyai banyak pengalaman di peringkat tertinggi dan juga seorang pemain yang masih mempunyai potensi besar. Kami tidak sabar untuk melihatnya beraksi," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram