[VIDEO] Macam ada badi, 3 kali Pahang kecewakan JDT di pentas kalah mati


  • Podium
  • Khamis, 06 Feb 2025

JDT dan Sri Pahang pernah mempunyai sejarah pertemuan yang amat menarik di pertandingan berformat kalah mati. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SEHINGGA hari ini, senyuman masih tidak lekang daripada wajah penyokong Sri Pahang FC yang masih meraikan kejayaan pasukan tersebut melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2024/25.

Kemenangan ke atas Sabah FC dalam pertembungan timbal balik separuh akhir pada Ahad lalu menyaksikan mereka mara dengan agregat 3-2, sekali gus menamatkan penantian lebih 10 tahun untuk ke peringkat akhir pertandingan.

Namun, di sebalik keraian yang terus membanjiri media sosial, penyokong kelab Pantai Timur itu masih berasa keluh-kesah kerana mereka akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas ini.

BACA LAGI: Bersinar di Piala Malaysia, saham 3 bintang lokal termasuk 'star' JDT melonjak naik

BACA LAGI: 'Jangan tamak', fans JDT harap Bergson tak pentingkan diri di final Piala Malaysia

475937992_18461976751066187_2099731203551660101_n

JDT dan Sri Pahang dijadualkan bertemu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25. Facebook/MFL

Keunggulan skuad Harimau Selatan sememangnya tidak perlu diceritakan lagi kerana dalam dua musim kebelakangan ini, pasukan tersebut amat sukar ditandingi, lebih-lebih lagi di peringkat domestik.

Tidak cukup dengan itu, pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu mempunyai sasaran hebat di perlawanan akhir apabila mereka mahu menjuarai tiga gelaran Piala Malaysia berturut-turut.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penyokong Sri Pahang, mereka yakin anak-anak buah Fandi Ahmad mampu mencipta kejutan untuk merampas takhta tersebut daripada skuad Harimau Selatan.

Ini kerana dalam sejarah kejuaraan berformat kalah mati, skuad Tok Gajah pernah membuatkan JDT berputih mata dengan beberapa keputusan yang sememangnya masih segar sehingga hari ini.

1. Final Piala Malaysia 2014

Pertembungan JDT dan Sri Pahang dalam pentas akhir Piala Malaysia bukanlah perkara baharu kerana genap 11 tahun lalu, mereka pernah ditakdirkan berentap dalam final Piala Malaysia.

Ketika itu, Pahang boleh dianggap sebagai gergasi bola sepak tanah air apabila menjuarai Piala FA pada tahun yang sama sementara lawan mereka itu masih sesuai digelar pencabar baharu.

Status tersebut bagaimanapun tidak melunturkan keazaman skuad Harimau Selatan yang pada satu ketika mendahului menerusi jaringan Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa untuk membatalkan gol pendahuluan Dickson Nwakaeme.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 5.26.39 PM

Skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2014 selepas menundukkan JDT.

Bagaimanapun, mentaliti Pahang yang kukuh membolehkan mereka kembali mengikat kedudukan apabila tonggak Tok Gajah itu sekali lagi menggegarkan gawang pada minit ke-71 permainan, sekali gus mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Tuah sememangnya berpihak kepada anak-anak buah Datuk Dollah Salleh pada perlawanan terbabit setelah mereka disahkan sebagai juara berikutan kegagalan Norshahrul Idlan Talaha untuk menyempurnakan tendangannya.

Keputusan tersebut amat diharapkan penyokong Pahang dapat berulang dalam pentas akhir Piala Malaysia tahun ini meskipun rata-rata daripada mereka tahu kelebihan berpihak kepada pasukan lawan.

2. Pusingan 32 pasukan Piala FA 2015

Usai dikecewakan dalam pentas akhir Piala Malaysia 2014, JDT berjaya menebus perasaan berkenaan dengan menundukkan Pahang dalam aksi Piala Sumbangsih pada musim berikutnya.

Bagaimanapun, permusuhan kedua-dua pasukan tersebut tidak terhenti di situ apabila kedua-dua gergasi bola sepak tanah air itu sekali lagi diundi bertemu dalam Piala FA.

Kemeriahan sememangnya dapat dirasakan apabila lebih 20,000 peminat kedua-dua pasukan hadir membanjiri Stadium Darul Makmur, Pahang untuk pertembungan pusingan 32 pasukan Piala FA 2015.

Aksi tersebut bermula dengan bertenaga selepas penyerang tuan rumah, Matias Conti membuka jaringan seawal minit ke-20 sebelum kelebihan itu dibatalkan Hariss Harun 10 minit sebelum aksi berakhir.

Namun, episod duka dialami JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 berulang apabila pasukan itu dikecewakan dalam penentuan sepakan penalti dengan penjaga gol Pahang, Khairulazhan Khalid berjaya menepis sepakan Luciano Figueroa dan Junior Estdal.

Skuad Tok Gajah bagaimanapun gagal mempertahankan kejuaraan apabila tumpas kepada Kelantan di pusingan separuh akhir berikutan kekalahan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan dalam aksi timbal balik.

3. Suku akhir Piala FA 2018

Permusuhan antara JDT dan Pahang berterusan sehingga 2018 selepas mereka dijadualkan bertemu di peringkat suku akhir Piala FA yang sememangya pertembungan amat dinanti-nantikan peminat bola sepak tanah air.

Aksi pertama di Stadium Darul Makmur, Pahang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, namun pertembungan itu amat menarik untuk disaksikan melihat kepada kecemerlangan jentera serangan dan benteng pertahanan kedua-dua pasukan.

Namun, kemuncak kepada pertemuan mereka adalah ketika perlawanan timbal balik di Stadium Larkin, Johor apabila penyerang Tok Gajah, Patrick Cruz menjadi wira pasukannya.

31081383_1026042380892394_2733858700946046976_n

Patrick Cruz meledak hatrik ketika aksi kedua di Stadium Larkin. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hatrik yang kesemua dijaringkan menerusi serangan balas pantas memastikan tiket ke separuh akhir Piala FA 2018 milik mereka sementara JDT terpaksa akur dengan kekecewaan di laman sendiri.

Lebih membanggakan lagi, tonik diperolehi skuad Tok Gajah membolehkan mereka muncul juara dalam edisi berkenaan apabila mudah menundukkan Selangor dalam pentas final.

Perlawanan di suku akhir Piala FA 2018 turut menyaksikan kali terakhir Pahang dan JDT bertemu dalam mana-mana pertandingan berformat kalah mati di pentas domestik, sekali gus menjadikan perlawanan antara mereka selepas ini lebih hangat untuk disaksikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram