Bekas penyerang Pahang anggap tindakan Park Tae-su terpuji, kongsi cara tangani kecaman fans


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Tandukan Tae-su yang cuba mengeluarkan bola menjadikan Sabah tewas di tangan Tok Gajah. — Facebook/SabahFC

KADANG dipuji, kadang dicerca sudah menjadi lumrah dalam kehidupan pemain bola sepak dan situasi berkenaan akan mematangkan mereka menjadi atlet lebih berkualiti pada masa hadapan.

Misalnya, baru-baru ini menyaksikan ketua pasukan Sabah FC iaitu Park Tae-su menerima kecaman hebat daripada penyokong susulan menjaringkan gol sendiri dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang.

Jaringan tersebut menyebabkan pasukan kendalian Martin Stano tewas dengan keputusan 1-2, sekali gus kalah secara agregat 2-3 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh Pahang pada Ahad lepas.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Salah ref', fans Sang Badak bersama ketua kampung Likas, 'backup' gol sendiri Park Tae-su

BACA LAGI: [VIDEO] Sakit hati Piala Malaysia belum berakhir, fans Sabah bongkar 2 insiden kontroversi aksi bertemu Tok Gajah

Menyedari kesilapan itu, Tae-su memohon maaf kepada seluruh penyokong Sang Badak dan berjanji untuk terus memperbaiki permainan dan menerima segala kritikan daripada peminat dengan hati terbuka.

Permohonan maaf berkenaan bukan hanya disambut baik oleh penyokong Sang Badak, malah bekas penyerang sayap skuad Tok Gajah, Muhammad Gopi Rizqi menyifatkan ia sebagai perbuatan terpuji.

112

Tangkap layar permohonan maaf Tae-su.

"Apa yang dia buat itu bagus. Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk bercakap dan minta maaf kepada penyokong. Ia satu contoh yang baik daripada dia buat tidak tahu. Penyokong pun dah bercakap banyak pasal dia, jadi dia buat perkara yang betul," katanya kepada Majoriti.

Mengimbau kembali ketika zaman kemuncaknya sebagai pemain yang beraksi di Liga Super, pemain pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers itu mengakui turut banyak menerima kecaman daripada penyokong.

Bagaimanapun, pemain berusia 35 tahun berkenaan memilih untuk mengabaikan kecaman terbabit dan memberi respons dengan menampilkan aksi yang lebih baik dan berkualiti pada perlawanan berikutnya.

2780027

Muhammad Gopi menyarung jersi Pahang dari 2010 sehingga musim 2015. — Facebook/SriPahang

"Kita kadang-kadang kena dengar cakap orang juga tapi sebagai pemain memang kena terima kecaman. Kita tidak boleh nak buat tak tahu hal-hal berkaitan penyokong ini. Saya dulu banyak kena kecam juga tapi saya buat tak tahu, dan memang akan tambah baik prestasi.

"Kalau yang jumpa penyokong-penyokong selalu kapten. Kami pemain akan berada di belakang. Tapi biasalah dalam bola, kadang-kadang kita main bagus dan kadang-kadang tidak," kongsinya.

Untul rekod, Muhammad Gopi merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang dari 2010 sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian, disusuli Selangor (2016), JDT (2017), Melaka United (2018) serta PDRM FC pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram