
PDRM FC akan berusaha untuk mencipta kejutan apabila bakal bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.
Sang Saka Biru merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan rekod bersih JDT musim ini, selepas berhasil mengikat juara liga 10 kali itu dengan keputusan 1-1 di Stadium Selayang, Selangor pada 31 Julai lalu.
Shahrel Fikri muncul watak penting meletakkan PDRM di depan sebelum Oscar Arribas menyamakan kedudukan untuk Harimau Selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan
Bruno Suzuki (kanan) dijangka menjadi watak penting buat PDRM mencuri mata di SSI.
Begitu pun, pengurus PDRM FC, Inspektor Mohd Shamsul Hisham Abd Razak berpendapat bahawa untuk mengulang pencapaian tersebut akan menjadi satu cabaran besar.
Hal ini kerana, bukan sahaja akan beraksi di tempat lawan, tetapi mereka juga masih merasa keletihan selepas perlawanan sukar menentang Kedah Darul Aman di separuh akhir Piala Cabaran pada Sabtu lalu yang berlarutan hingga ke masa tambahan.
Walaupun keletihan, Sang Saka Biru menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan menewaskan KDA FC 5-4 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat sekali gus mengesahkan tempat mereka ke perlawanan akhir.
Selain itu, beberapa pemain utama akan terlepas perlawanan tersebut, termasuklah Kyaw Min Oo dan Mohd Safiee Ahmad yang sedang menjalani penggantungan.
Sebahagian sesi latihan JDT yang pastinya mahu meraih kemenangan di laman sendiri aksi bertemu PDRM.
"Kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Walau bagaimanapun, saya merasakan pasukan masih lagi terasa kesan daripada bermain lebih 120 minit menentang Kedah dalam Piala Cabaran.
"Tetapi kami yakin dengan semua pemain, termasuk mereka yang menggantikan pemain yang tidak dapat bermain, untuk memberikan komitmen 100 peratus. Jika boleh, kami ingin mencipta kejutan menentang JDT.
"Sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya mengikat JDT musim ini, kami mahu mengekalkan momentum itu. Bagaimanapun, dengan pemain kami keletihan, ia menjadi kebimbangan saya," tambahnya.
Sehubungan itu, PDRM juga akan membawa penyerang kelahiran Jepun, Bruno Suzuki ke Iskandar Puteri walaupun baru sahaja beraksi untuk pasukan PDRM Bawah 21 tahun (B-21) dalam perlawanan Piala MFL menentang Selangor pada Selasa lalu.
"Suzuki bermain dalam Piala MFL dan sebaik sahaja perlawanan tamat, kami terus membawanya untuk menyertai rakan sepasukannya sebagai persediaan menghadapi JDT," katanya lagi.
Selepas 17 perlawanan, PDRM kini berada di tangga ketujuh liga dengan 21 mata, manakala JDT yang telah bermain 18 perlawanan, mendahului liga dengan 52 mata. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram