[VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 04 Feb 2025

Walaupun sering tampil cemerlang dalam setiap aksi, JDT turut berdepan situasi yang mana menyaksikan mereka membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol.

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berhasil mencipta nama gah di pentas Asia dengan reputasi pasukan yang sangat kuat dan berdaya saing namun kesilapan dalam benteng pertahanan adalah sesuatu yang sukar dielakkan dalam mana-mana pasukan termasuklah JDT.

Skuad Harimau Selatan terkenal dengan kekuatan pertahanan mereka yang sukar ditembusi kerana membariskan pemain berkualiti seperti Matthew Davies, Jordi Amat dan Afiq Fazail.

Namun, dalam beberapa perlawanan, kealpaan dan kekurangan tumpuan dalam barisan pertahanan mengundang padah apabila mereka memberi peluang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

BACA LAGI: Dari Sabah ke pentas antarabangsa, Nurul Azurin menyerlah cipta 'clean sheet' pertama di Albania

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sanggup hilang Kpah di pentas final, Fandi Ahmad sedia buat rayuan

Kesilapan tersebut membuka ruang kepada pemain-pemain tempatan yang tidak gentar untuk memanfaatkan peluang itu.

Menariknya, tiga pemain lokal berjaya menggoncang gawang JDT, satu pencapaian yang mengejutkan dan memberikan tamparan hebat kepada skuad Harimau Selatan.

Perkara itu membuktikan bahawa walaupun JDT sering dianggap pasukan yang hampir sempurna, kekurangan fokus dalam pertahanan boleh mengundang risiko dan pasukan lawan harus diberikan penghargaan kerana memanfaatkan peluang tersebut dengan baik.

1. David Rowley

Pemain tengah Sri Pahang FC, David Rowley menjadi antara pemain lokal yang mencipta kejutan apabila berjaya menggoncang gawang JDT dalam saingan Liga Super 2024.

Kejayaan tersebut hadir pada minit ke-53, sejurus selepas Rowley dimasukkan oleh Ketua Jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad bagi menggantikan Kpah Sherman memasuki babak kedua aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.

Rowley, yang masuk ke padang dengan semangat tinggi, segera memberikan impak besar apabila menjaringkan gol yang mengejutkan benteng pertahanan JDT.

Gol tersebut bukan sahaja menambah keyakinan Sri Pahang FC, tetapi juga membuktikan kemampuan pemain tempatan dalam menghadapi pasukan bertaraf tinggi seperti JDT.

Begitupun, skuad Tok Gajah terpaksa menelan pahit apabila tewas 1-3 kepada JDT dalam aksi yang berlangsung pada 17 Disember lalu.

2. Brendan Gan

Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Brendan Gan turut mencipta nama sebagai salah seorang pemain tempatan yang berjaya menembusi gawang JDT pada penghujung perlawanan babak kedua dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada 13 Disember 2024, Brendan Gan berjaya mengejutkan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi yang sukar menangkap kemas bola tersebut.

Namun, meskipun kemampuan Brendan Gan untuk menjaringkan gol menentang JDT sangat mengagumkan, nasib tidak menyebelahi KL City apabila mereka tewas 1-2 kepada JDT.

Dalam perlawanan yang penuh dramatik itu, JDT berjaya meraih kemenangan melalui jaringan Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes.

3. Shahrel Fikri

Penyerang PDRM FC, Shahrel Fikri Md Fauzi menjadi antara pemain tanah air yang pernah menggegarkan jaring Harimau Selatan.

Menggalas tugas sebagai penyerang utama PDRM, Shahrel Fikri berjaya menyempurnakan peluang yang diperoleh untuk menjaringkan gol pendahuluan.

Begitu pun, JDT menerusi pemain tengahnya, Oscar Arribas berhasil menyamakan kedudukan dengan mencetak gol pada minit ke-32.

Menariknya, berakhir aksi 90 minit di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor, PDRM meraih satu keputusan yang cukup mengejutkan memandangkan JDT terkenal dengan kekuatan mereka di peringkat domestik.

Keputusan seri itu memberi suntikan semangat kepada PDRM yang berjaya mengekang cabaran Harimau Selatan, sekali gus menunjukkan kebolehan pasukan untuk bersaing dengan pasukan elit seperti JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram