[VIDEO] Sakit hati Piala Malaysia belum berakhir, fans Sabah bongkar 2 insiden kontroversi aksi bertemu Tok Gajah


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Tangkap layar menunjukkan kedua-dua situasi yang mana pengadil perlawanan enggan membuat semakan menggunakan VAR.

PERJUANGAN Sabah FC dalam saingan Piala Malaysia 2024 berakhir dengan penuh kekecewaan.

Skuad kendalian Martin Stano terpaksa menerima hakikat bahawa impian mereka untuk ke pentas akhir terkubur selepas tewas 2-3 secara agregat di tangan Sri Pahang FC.

Walaupun akur dengan keputusan di Stadium Temerloh, ramai penyokong setia Sang Badak nampaknya sukar untuk melupakan beberapa insiden kontroversi yang diputuskan oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

BACA LAGI: [VIDEO] Benteng JDT tak padu mana, 3 pemain lokal selamba gegar jaring Harimau Selatan

BACA LAGI: 'Jangan tamak', fans JDT harap Bergson tak pentingkan diri di final Piala Malaysia

Hal ini kerana, mereka berasakan bahawa keputusan pengadil dalam aksi yang penuh dramatik itu berat sebelah dan lebih memihak kepada pasukan tuan rumah.

Susulan itu, isu penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) kini menjadi perbincangan hangat di media sosial, dengan ramai penyokong Sabah masih meragui keputusan pengadil yang enggan menggunakan teknologi tersebut.

1) Gol melepasi garisan

Insiden pertama melibatkan tindakan susulan daripada Jafri Chew yang sepertinya berhasil mencetak gol pada minit ke-47+3 selepas menyambut tandukan daripada Darren Lok namun malangnya jaringan tersebut tidak dikira oleh pengadil perlawanan.

Pengadil mendakwa bola tersebut telah dikeluarkan oleh pemain pertahanan Sri Pahang, Baqiuddin Shamsudin, walaupun sebenarnya bola itu sudah melepasi garisan gol dan berada dalam kotak penalti.

Penyokong Sabah FC berpendapat bahawa Baqiuddin berada di dalam gawang ketika bola tersebut masuk, yang mengukuhkan lagi dakwaan bahawa gol itu seharusnya dikira kerana ia sudah melepasi garisan kotak penalti.

Keputusan itu menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peminat yang berasakan gol tersebut sepatutnya menjadi milik Sabah FC.

Susulan daripada itu, 'ekor' Sang Badak meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan pengadil yang enggan menggunakan VAR untuk menyemak semula gol tersebut.

Mereka berpendapat bahawa penggunaan VAR seharusnya dilakukan untuk memastikan keputusan lebih adil dan tepat, terutamanya apabila terdapat keraguan mengenai keputusan yang dibuat di atas padang.

2) Bola terkena tangan lawan

Insiden kontroversi kedua adalah melibatkan kapten Sabah, Dominic Tan yang mendakwa bahawa bola terkena tangan bek kanan Tok Gajah, Azrif Nasrulhaq.

Walaupun dakwaan itu dibuat, pengadil perlawanan enggan memeriksa VAR untuk memastikan kesahihan situasi tersebut dan hanya memberi sepakan gol tanpa sebarang semakan lanjut.

Keputusan pada minit ke-108 itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong The Rhinos yang berpendapat pengadil seharusnya lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan yang adil dan tepat.

Penyokong beranggapan bahawa penggunaan VAR amat penting dalam insiden seperti itu bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap keputusan yang dibuat, terutamanya apabila ada potensi kesilapan dalam penghakiman.

Mereka merasakan pengabaian terhadap semakan VAR menunjukkan ketidakseriusan dalam memastikan keputusan perlawanan adalah sah dan adil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram