Di sebalik prestasi kurang baik, Milos luang masa 'berguru' bersama legenda Kedah


  • Podium
  • Rabu, 05 Feb 2025

Milos masih kekal beraksi buat skuad Sang Kenari meskipun terdapat beberapa masalah di luar padang yang menimpa. — Facebook/KDA FC

MESKIPUN pada awal musim dahulu kerap dikecam penyokong, Milos Gordic yang merupakan penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC mula disebut-sebut penyokong kelab Utara tanah air itu kebelakangan ini.

Namun, ia bukanlah disebabkan perubahan dari segi prestasi yang ditonjolkan di atas padang, tetapi adalah kerana kesanggupan penyerang tinggi lampai itu untuk kekal beraksi demi lencana di dada.

Isu demi isu yang membelenggu tidak mematahkan semangat pemain dari Serbia itu daripada terus tampil buat pasukannya tersebut dengan 25 penampilan sudah direkodkannya dalam semua pertandingan di peringkat domestik.

BACA LAGI: Sebak lihat Sony, Nafuzi tinggalkan Kedah, Milos Gordic luah kebimbangan bersama Sang Kenari

BACA LAGI: Milos macam belajar sesuatu, tapi masih tak cukup bantu Kedah benam PDRM

475980834_1836229660534457_7539747617045886824_n (1)

Milos (atas, lima dari kiri) menyertai aksi bola sepak sosial pada Ahad lalu. Facebook/Sang Kenari 1924

Kesanggupannya untuk beraksi meskipun mengalami pelbagai isu di luar padang sekali gus menceritakan pengorbanan Milos yang mula mencuri hati penyokong Hijau Kuning kebelakangan ini.

Malah, baru-baru ini, pemain berusia 32 tahun tersebut sekali lagi menjadi bualan peminat bola sepak di Kedah selepas hadir menyertai sebuah perlawanan persahabatan anjuran Kelab Legasi Kedah (KLK).

Perkara itu dikongsikan di laman Instagram kelab penyokong tersebut menampilkan pemain itu beraksi di samping beberapa pengikut setia KDA FC di Stadium Mini Pendang, Kedah pada Ahad lalu.

Menariknya, aksi tersebut turut dihadiri bekas kapten merangkap legenda pasukan, Khairul Helmi Johari yang kini difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir beraksi buat Kelantan FC.

Bekas bek tengah skuad Sang Kenari itu juga seperti beramah-mesra di samping Milos apabila terdapat sekeping foto memaparkan kedua-dua mereka bertemu di lot parkir kenderaan.

475875439_23984857624437017_6871758211941010113_n

Milos (kanan) sempat bertemu Khairul Helmi sebelum aksi persahabatan diadakan. Facebook/Khairul Helmi

Meskipun tidak berkongsi perkara dibincangkan ketika pertemuan ringkas itu, ramai beranggapan kedua-dua mereka bercerita mengenai skuad Sang Kenari dengan Khairul Helmi pasti membuka kisah mengenai pengalamannya bersama kelab Utara tanah air terbabit.

Selain itu, ada yang membuat telahan dengan mengatakan Milos meminta sedikit tips daripada Khairul Helmi mengenai peranan kapten bersama pasukan tersebut kerana dia diberikan peranan tersebut ketika separuh akhir kedua MFL Challenge Cup.

Jika hal tersebut dibincangkan, ia menceritakan kesanggupan dan kesungguhan penyerang tinggi lampai itu untuk terus kekal bersama skuad Sang Kenari yang masih belum menampakkan masa depan cerah ketika ini.

Pengalaman bertemu legenda Kedah itu sememangnya diharapkan dapat membantu Milos dalam aksi-aksi selepas ini kerana pasukan bimbingan Victor Andrag tersebut pasti mahu memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Super.

Skuad Sang Kenari akan bertemu Negeri Sembilan FC di tempat lawan pada 26 Februari depan dengan tiga mata penuh mampu meletakkan mereka ke kedudukan kelima Liga Super selepas 18 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram