Selangor patut bersaing di pentas akhir Piala Malaysia, bukannya final Piala Cabaran — Ramon Marcote


  • Podium
  • Isnin, 03 Feb 2025

Aksi final bakal mempertemukan Selangor menentang PDRM. — Selangor FC

JARINGAN tunggal pemain import Selangor FC, Alvin Fortes pada separuh masa kedua membolehkan Gergasi Merah melangkah ke pentas akhir selepas menang 2-0 secara agregat ke atas Penang FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad (02 Februari).

Beraksi di halaman sendiri membolehkan skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi menampilkan aksi lebih meyakinkan berbanding pertemuan Liga Super sebelum ini.

Meskipun kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun kedudukan 1-0 itu kekal sehingga perlawanan tamat.

BACA LAGI: Kisah misai 'kontot' Roque Mesa, aksi di Liga Eropah bakal bantu JDT layak ACLE?

BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan Manchester United, Antony terus dapat MOTM aksi debut bersama Real Betis

Aksi final bakal mempertemukan Selangor FC dengan PDRM FC yang sebelum ini menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 5-4 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat.

Melihat Gergasi Merah beraksi di Piala Cabaran 2024/25, bekas jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote nyata terkejut pasukan gergasi itu tidak meneruskan perjuangan di Piala Malaysia apatah lagi tewas di kaki Tok Gajah.

"Bagi saya, adalah satu kejutan bahawa Sri Pahang FC berjaya menewaskan Selangor kerana tahun ini, skuad dengan sloagan 'Hitam Putih Takkan Padam' itu tidak menunjukkan prestasi dan keputusan yang baik dalam liga.

"Berjuang untuk Piala Cabaran sememangnya bukan dalam perancangan dan aspirasi Selangor FC dan sudah tentu ia tidak memenuhi jangkaan penyokong pasukan.

"Kita semua boleh bersetuju bahawa Selangor FC sepatutnya bersaing untuk final Piala Malaysia dan bukannya final Piala Cabaran MFL, tetapi realiti semasa adalah seperti yang ada dan ia tidak boleh diubah," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi perubahan jurulatih memberikan kesan besar dalam perjalanan Selangor musim ini serta jadual baharu yang lebih padat turut menyukarkan skuad Gergasi Merah.

"Prestasi Selangor dalam liga boleh dianggap seperti yang dijangkakan. Pada peringkat ini dalam kejohanan, mereka berada di tempat kedua dalam liga dengan jumlah mata yang lebih kurang sama seperti musim lalu.

"Walaupun saya berpendapat bahawa musim ini Selangor mempunyai pasukan lebih kuat, lengkap dan seimbang berbanding musim lalu dengan penambahan pemain tempatan dan asing berkualiti, kemungkinan empat pertukaran jurulatih dalam satu musim telah menyukarkan pasukan untuk menunjukkan potensi penuh mereka.

"Kita tahu bahawa setiap pertukaran jurulatih memerlukan tempoh penyesuaian bagi pemain dan jurulatih terhadap suasana baharu. (Wajah baharu, kaedah kerja dan rutin baharu).

"Selain itu, Selangor terpaksa menghadapi cabaran baharu yang lebih mencabar seperti bersaing dalam ACL 2 di samping kejohanan biasa (liga, Piala FA, Piala Malaysia). Sebahagian daripada perubahan ini berlaku pada saat-saat penting dengan jadual perlawanan yang padat di mana pasukan gagal memberikan prestasi terbaik mereka.

"Salah satu momen tersebut ialah penyingkiran dalam Piala Malaysia menentang Pahang. Apabila pasukan tidak memberikan yang terbaik, saingan tidak akan berbelas kasihan kerana kita sudah tahu bahawa dalam Piala Malaysia, semua pasukan sedar mereka mempunyai peluang kecil untuk mara dan akan berjuang untuknya," jelasnya.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu turut berasakan penyokong tidak gembira dengan final Piala Cabaran namun berharap pemain ke-12 terus meraikan Gergasi Merah di perlawanan akhir itu.

"Kita tahu bahawa final sentiasa merupakan perlawanan yang berbeza di mana setiap pasukan memaksimumkan kekuatan mereka untuk cuba memenangi perlawanan.

"Walaupun begitu, perbezaan dalam potensi antara kedua-dua pasukan kelihatan jelas. Bagi saya, sebarang keputusan selain kemenangan untuk Selangor akan menjadi satu kejutan.

"Jadi, kelab, pemain, jurulatih dan penyokong mungkin tidak begitu gembira untuk bermain dalam final ini, tetapi hakikatnya dalam bola sepak, kita perlu menikmati setiap detik kerana kita tidak pernah tahu bila pasukan akan bermain dalam satu lagi perlawanan akhir," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram