
BERITA buruk buat pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad selepas difahamkan penyerang import, Kpah Sherman tidak dibenarkan untuk beraksi menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di aksi final Piala Malaysia 2024/25 pada 26 April nanti.
Khidmat penyerang Liberia berusia 33 tahun itu terpaksa dilupakan oleh Tok Gajah kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas Sherman mengutip kad kuning kedua dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah FC pada Ahad (2 Februari).
Perkara itu diakui Fandi selepas perlawanan yang mana beliau akan membuat rayuan untuk membolehkan Kpah beraksi di pentas final nanti.
BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan Manchester United, Antony terus dapat MOTM aksi debut bersama Real Betis
Sri Pahang tanpa khidmat Kpah Sherman di pentas final Piala Malaysia susulan penggantungan kad kuning?
Laporan penuh di Nadi Arena 7.30 malam ini.@ASTROARENA pic.twitter.com/hUh9Kr8W2d
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) February 3, 2025
"(Tugas) berat ini. Kita ada dua penggantungan pemain sekarang. Kpah (Sherman) kena kad kuning kedua. Kita nak cuba buat satu rayuan.
"Kita pasti merayu, kita akan usahakan. Sebab dia bermain dari awal hingga akhir ini. Kalau tak main di final, tak cantiklah,” katanya selepas tamat perlawanan.
Jika rayuan Fandi ditolak oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ia sekali gus menjadi perlawanan akhir kedua Kpah tidak dapat beraksi di pentas final menentang JDT.
Sebelum ini, Kpah turut berpeluang bertemu JDT dalam aksi final Piala FA 2022 bersama Terengganu FC namun pemain kelahiran Liberia itu mengalami kecederaan.
Tanpa kelibat Kpah, JDT mudah menewaskan Terengganu 3-1 dalam aksi final Piala FA 2022 itu menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi dan dua gol Bergson da Silva.
Bersama Terengganu, Kpah antara penyerang berbisa apabila meledak 13 jaringan dan satu 'assist' dalam 22 perlawanan.
Dalam perlawanan akhir Piala Malaysia nanti, Kpah bukan satu-satunya pemain Sri Pahang yang perlu menjalani penggantungan.
Seorang lagi tonggak import yang perlu menjalani penggantungan ialah Manuel Hidalgo.
Hidalgo turut menjalani penggantungan perlawanan selepas dibuang padang dalam aksi separuh akhir pertama menentang Sabah pada 18 Januari lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram