'JDT rekrut pemain tua, bukan rugi tapi pelaburan'


  • Podium
  • Selasa, 04 Feb 2025

Gonzalez dijangka membawa pengalaman luasnya dalam bola sepak Eropah ke skuad Harimau Selatan. — Facebook/JDT

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan status sebagai kuasa bola sepak Asia dengan mengumumkan kehadiran pemain pertahanan berpengalaman dari Sepanyol, Alvaro Gonzalez.

Pemain berusia 35 tahun berkenaan dijangka membawa pengalaman luasnya dalam bola sepak Eropah ke skuad Harimau Selatan bagi membantu perjuangan Harimau Selatan di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Pengumuman itu dibuat melalui satu hantaran di laman Facebook JOHOR Southern Tigers pada Isnin dan rata-rata penyokong bola sepak pasukan tersebut teruja dengan kehadiran bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Al-Nassr.

BACA LAGI: Kisah misai 'kontot' Roque Mesa, aksi di Liga Eropah bakal bantu JDT layak ACLE?

BACA LAGI: [VIDEO] 'Selamat datang ke JDT Alvaro Gonzalez, harap Feroz dengan Shahrul Saad korek ilmu daripada dia'

Bagaimanapun kehadiran Gonzalez mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong apabila sesetengah daripada mereka melihatnya sebagai satu pembelian yang membazir dek usianya.

Tidak sehala dengan pendapat itu, pemerhati sukan tempatan iaitu Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menganggap kehadirannya bukan satu pembaziran tapi sebaliknya satu pelaburan yang menarik dari JDT.

Hal ini kerana, Gonzalez hadir dengan portfolio yang mengagumkan apabila pernah beraksi di liga tertinggi Eropah seperti La Liga bersama Villareal, Espanyol, Real Zaragoza, Rayo Cantabria serta Marseille di Ligue 1.

"Walaupun ada cakap membazir tetapi dia datang dengan pengalaman besar. Saya percaya JDT satu pasukan yang hebat dalam segi pemasaran dan pelaburan bola sepak. Saya percaya dia tidak akan buat pelaburan yang sia-sialah.

"Gonzalez akan membawa cabaran yang berbeza berbanding tempatan. Dia akan beraksi saingan ACLE, yang mempunyai demand spesifik untuk kebolehan yang ada dari Gonzalez. Jadi saya tak jangka ia satu pelaburan sia-sia.

"Pelaburan seperti ini memang kita perlu scrutinize, kita perlu teliti dengan betul-betul, segala return of investment. Bagaimanapun namanya pun pelaburan. Ada kala untung, ada kala rugi itu biasa," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Zulakbal juga menyifatkan Harimau Selatan sebagai satu pasukan yang bijak kerana pemain berusia mempunyai nilai pasaran agak rendah, sekali gus tidak akan meminta gaji terlalu tinggi memasuki penghujung karier.

DALAM DALAM DALAM DALAM

Mesa juga dikaitkan bakal menyertai JDT bersama-sama dua lagi rakan senegaranya.

"Biasanya pemain yang dah berumur ni, market value agak rendah. Mungkin JDT nak mempergunakan market value yang agak rendah ini untuk memanfaatkannya pada saat-saat akhir dalam jangka masa pendek sajalah.

"Boleh jadi mereka memang diambil untuk projek ACLE sahaja. Mungkin begitulah dia nak memaksimumkan penggunaan dia dengan kos yang rendah pada masa tertentu," ujarnya mengenai isu berkenaan.

Selain Gonzalez, Jonathan Viera dan Roque Mesa yang pernah beraksi bersama kelab ternama Sepanyol juga disebut antara buruan Harimau Selatan untuk memberi saingan dalam kejohanan ACLE.

Untuk rekod, JDT bakal bertemu Central Coast Mariners di Australia pada 11 Februari bagi perlawanan ACLE. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram