
JENDELA perpindahan Januari yang melibatkan saingan liga Eropah sudah ditutup dengan menyaksikan beberapa khabar angin tidak berlaku dan pastinya mengecewakan penyokong bola sepak.
Antara khabar angin yang mengejutkan apabila pasukan gergasi Itali, Juventus dicanang mahu merekrut pertahanan tengah skuad kebangsaan Indonesia iaitu Jay Idzes bagi memperkuatkan bahagian belakang pasukan mereka.
Pasukan dengan jolokan skuad La Vecchia Signora itu difahamkan mahu menggunakan khidmat pemain Venezia itu untuk menggantikan sasaran utama mereka iaitu Kevin Danso, yang menyertai Tottenham Spurs dari Lens.
BACA LAGI: Sebelum sertai Man United, Patrick Dorgu ada pengalaman berdepan bek Indonesia
Perpindahan itu menyebabkan Juventus mencari alternatif lain dan nama Idzes disenaraikan sebagai sasaran utama mereka selepas wartawan Itali, Antonella Angelini, mendedahkan bahawa skuad La Vecchia Signora menghubungi Venezia berhubung potensi perpindahan.
Venezia pula difahamkan sudah menetapkan harga untuk pemain berusia 25 tahun itu. Mereka telah menetapkan tanda harga €20 juta (RM106 juta) untuk pemain itu, angka yang sangat tinggi memandangkan nilai pasaran semasa Idzes hanya sekitar €3 juta (RM15 juta).
Bagaimanapun, harganya boleh dianggap setanding dengan prestasi luar biasa yang ditunjukkan oleh Idzes musim ini. Sebagai ketua pasukan, Idzes sangat mengagumkan walaupun Venezia masih bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.
Bek warisan Belanda-Indonesia itu membuat 22 penampilan musim ini dan telah menjaringkan dua gol. Penampilannya yang mengagumkan di bahagian belakang dan sumbangannya dalam serangan telah menjadikannya pemain utama untuk Venezia.
Idzes menyertai Venezia pada Julai 2023. — Agensi
Bagaimanapun, impian penyokong Indonesia untuk menyaksikan Idzes menyarung jersi Juventus tidak kesampaian dek tarikh jendela perpindahan Januari ini sudah tutup.
Sebelum ini, Idzes difahamkan menjadi sasaran Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas pemain Venezia berkenaan dilihat mengikuti ejen yang sering membawa pemain import ke Harimau Selatan iaitu Kiko Insa di laman Instagram.
Bagaimanapun, kisah penghijrahan bek tengah skuad kebangsaan Indonesia itu ke JDT berhenti apabila Idzes berhijrah ke Venezia bagi mengembangkan karier bola sepaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram