
BAGI sesebuah perniagaan kekal relevan dan berdaya saing dari sudut pemasaran dan jualan, ada ketikanya pemilik mengambil inisiatif melantik duta.
Meskipun diakui bukan semua jenis perniagaan sesuai atau memerlukannya, terdapat sebahagian daripadanya memerlukan khidmat golongan berkenaan bagi tujuan memperkenal produk masing-masing di pasaran.
Bagi selebriti, Diana Danielle Danny Beeson, beliau berpandangan adalah tidak salah menggunakan duta atau pempengaruh dalam perniagaan selagi mereka yang dilantik mampu membawa impak positif terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
"Namun, ramai yang salah faham mengenai duta dengan beranggapan golongan yang dilantik ini untuk meningkatkan jualan.
"Hakikat sebenar, ia bukan tugas atau kerja duta untuk meningkatkan jualan produk yang menggunakan khidmat mereka.
"Sebenarnya peranan duta lebih kepada kesedaran dan pemasaran yang baik supaya sesuatu jenama diwakili duta berkenaan mendapat kepercayaan daripada khalayak," katanya.
Diana turut menyatakan bahawa mendapatkan khidmat duta bukanlah langkah mudah kerana ia melibatkan sejumlah kos. — Diana Danielle
Menurut Diana, kerjasama antara jenama dengan duta itu secara tidak langsung memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap sesuatu produk.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa untuk mendapatkan khidmat seseorang duta bukan satu tugas mudah kerana ia melibatkan kos yang bukannya murah.
"la menuntut pelaburan yang tinggi. Dari sudut berkenaan masyarakat dapat menilai perniagaan berkenaan bukan sahaja berkemampuan, malah serius dalam menjalankan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, Diana berkata, pengguna turut disarankan membuat kajian terlebih dahulu mengenai kesesuaian sesuatu produk atau perkhidmatan untuk keperluan mereka.
Pengguna juga menurutnya harus tahu walaupun produk dan perkhidmatan itu menggunakan duta, ia tidak bermaksud duta berkenaan menggunakan produk dan perkhidmatan terbabit.
"Ia bukan tugas duta sebenarnya, kami dilantik oleh sesuatu perniagaan itu kerana mereka mahu menggunakan platform kami seperti di media sosial.
"Cristiano Ronaldo misalnya, menjadi duta kepada jenama minyak rambut terkemuka. Hakikatnya Ronaldo tidak menggunakan produk berkenaan, jenama itu hanya menggunakan platform Ronaldo bagi menarik khalayak mengetahui produk mereka.
"Tidak kira sama ada produk itu diguna pakai oleh seseorang duta atau tidak, tanggungjawab sebenar terletak pada perniagaan itu sendiri dalam memastikan produk mereka selamat digunakan," katanya.
Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo antara yang laris dilantik sebagai duta produk. — CR7
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, terdapat beberapa faktor yang membawa kepada keperluan sesebuah perniagaan itu untuk menggunakan duta.
Katanya, selain membina kesedaran bagi produk dikeluarkan, duta berpengalaman turut berupaya membantu menguruskan krisis dengan berkesan dan memulihkan imej syarikat dalam apa jua situasi.
"Malah, duta berwibawa menjadi aset untuk mendapat liputan media yang positif," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak semua jenis perniagaan memerlukan kepada penggunaan duta kerana ia bergantung kepada strategi pemasaran.
Ujarnya, antara perusahaan tidak memerlukannya adalah lazimnya perniagaan dalam talian yang mana produknya dijual secara langsung di platform seperti Amazon, eBay, atau Etsy.
"Penumpuan kepada pemasaran dalam platform tersebut menggunakan teknik pemasaran digital seperti pengiklanan berbayar, pengoptimuman enjin carian (SEO) dan media sosial.
"Penggunaan duta tidak diperlukan kerana penekanan diberikan kepada pemasaran dalam talian.
"Selain itu adalah perniagaan perkhidmatan profesional seperti guaman, kesihatan dan perguruan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram