Lupakan aksi tak 'menjadi Bergson' dan insiden cekak baju Natxo, 2 gol Heberty halang TFC ikat JDT di SSI


  • Podium
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Heberty menjadi penyerang tunggal untuk Harimau Selatan apabila meledak dua gol pada aksi kedua separuh akhir di SSI. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC dengan keputusan agregat 6-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Heberty menjadi watak penting Harimau Selatan apabila meledak dua gol untuk membantu JDT dalam pusingan kedua separuh akhir itu.

Meskipun sudah membawa bekalan empat gol dari aksi separuh akhir pertama sebelum ini namun Hector Bidoglio menurunkan empat penyerang mereka iaitu Bergson da Silva, Heberty, Jorge Obregon dan Arif Aiman Hanapi.

Manakala, skuad kendalian Badrul Afzan Razali pula membuat lima pertukaran dengan yang ketara meletakkan Nnabuike Chukwu di bahagian sayap kanan bagi menggantikan Akhyar Rashid.

BACA LAGI: Enggan ambil risiko, Ivan Mamut terlepas aksi bertemu JDT

BACA LAGI: Mesin gol kembali sertai pasukan, gandingan Ivan Mamut, 2 import jadi sandaran jumpa JDT

JDT selaku tuan rumah jelas menunjukkan penguasaan mereka apabila melakukan enam percubaan ke gawang TFC, manakala Terengganu pula sekadar merekodkan dua percubaan tepat ke gawang yang dijaga Christian Abad.

Percubaan pertama dari Bergson tidak berhasil diterjemahkan dalam bentuk gol hingga menyaksikan Arif Aman dan Obregon menunjukkan reaksi kecewa.

Bergson yang hanya perlu menewaskan Syed Nasrulhaq dalam situasi satu lawan satu itu mensia-siakan hantaran tepat dari Arif Aiman dari bahagian sayap kanan JDT.

Selepas 20 minit permainan berlangsung, kem Terengganu terpaksa akur untuk mengeluarkan pertahanan mereka iaitu Alif Zakaria susulan masalah kecederaan sebelum digantikan oleh Hairiey Hakimi.

Kombinasi antara Afiq Fazail dan Heberty menyaksikan jaringan pertama berhasil diledak oleh import Brazil itu pada minit ke-31 permainan.

Perlawanan bertambah panas sebelum babak pertama berakhir apabila Natxo Insa menarik baju untuk menjatuhkan Nnabuike pada minit ke-40 hingga timbul pergaduhan antara mereka.

Pemain berpengalaman JDT itU dilihat tidak dapat mengawal emosi dan mencekak baju tonggak import Terengganu berkenaan. Kekerasan Natxo itu menyaksikan Terengganu menerima sepakan percuma.

Selepas sembilan minit separuh masa kedua bermula, Akinade berhasil mencari gol penyamaan selepas menerima hantaran lintang dari bek tengah, Ubaidullah Shamsul.

Drama babak kecederaan menyaksikan Heberty menggandakan jaringan untuk skuad Harimau Selatan dari percubaan luar kotak. Ia sekali gus menewaskan impian TFC untuk mengikat Harimau Selatan di laman sendiri.

Selepas ini, Harimau Selatan akan bertemu Sri Pahang atau Sabah dengan ia akan menjadi halangan terakhir untuk mereka melengkapkan hatrik kejuaraan Piala Malaysia sejak tahun 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram