'Dalam perancangan', TMJ dedah JDT mungkin bertemu PSG dalam aksi persahabatan


  • Podium
  • Sabtu, 01 Feb 2025

Tunku Ismail (kanan) ketika bertemu Nasser yang merupakan pemilik PSG di Timur Tengah beberapa minggu lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JENAMA Johor Darul Ta'zim (JDT) di peringkat Asia sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana kelab itu sudah dikenali selepas bermusim-musim bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Selain itu, kejayaan pasukan di peringkat domestik sudah cukup untuk meletakkan mereka sebagai antara yang terbaik pernah disaksikan dalam sejarah bola sepak Asia.

Kedudukan tersebut bagaimanapun masih belum cukup memuaskan buat pihak pengurusan, terutamanya buat Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memiliki cita-cita lebih besar.

BACA LAGI: [VIDEO] Gigih selamatkan bola, 'keeper' PSG terima 10 jahitan akibat muka cedera kena stud

BACA LAGI: Kelab Arab Saudi, PSG dipetik destinasi baharu Rashford andai dilepaskan Man United

472505865_1172670634228911_766273125481570400_n

Tunku Ismail (tengah) ketika dijemput menonton sesi latihan PSG di Perancis. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pemilik JDT itu seperti mahu meletakkan skuad Harimau Selatan sebaris kelab-kelab ternama di peringkat antarabangsa walaupun tahu keazamannya itu masih sukar untuk direalisasikan.

Namun, langkah menuju ke arah membuktikan kesungguhannya itu mula diambil apabila Tunku Ismail bertindak bertemu pemilik Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi.

Pertemuan itu berlangsung ketika bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersebut mengadakan lawatan ke Timur Tengah yang menyaksikannya sempat meluangkan masa bersama beberapa ikon ternama dalam arena bola sepak.

Lebih menarik lagi, Tunku Ismail turut menjadi tetamu khas Nasser dan PSG apabila dijemput untuk menyaksikan sesi latihan kelab Perancis berkenaan sebelum diberi peluang meluangkan sedikit masa bersama pemain.

Perjumpaan antara kedua-dua pemilik kelab itu turut menghadiahkan satu berita baik buat penyokong JDT apabila Tunku Ismail sendiri tidak menolak kemungkinan terdapat perlawanan persahabatan antara JDT dan PSG.

JDT-3-10

Skuad Harimau Selatan ketika bertemu Borussia Dortmund dari Jerman.

"PSG 100 peratus tahun ini atau tahun depan. Banyak lagi perjanjian jangka pendek dan jangka panjang antara JDT dan PSG akan menyusul tahun ini. Saya dan Tim Cahill akan ke Paris untuk muktamadkan perjanjian,” katanya.

Pengumuman yang dibuat menerusi ciapan di laman X itu turut memaklumkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu dalam perancangan mengadakan pra-musim 2025/26 di Arab Saudi.

Aksi persahabatan antara JDT dengan kelab-kelab terkenal bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, mereka pernah bertemu pasukan Jerman, Borussia Dortmund dan Zenit St Petersburg dari Russia.

Meskipun perlawanan itu berakhir dengan kekalahan buat skuad Harimau Selatan, pengalaman diperolehi, lebih-lebih lagi buat pemain tempatan mampu menjadikan mereka lebih matang di atas padang.

Hubungan baik antara JDT dengan PSG pasti akan melonjakkan lagi reputasi kelab itu, termasuk dari segi komersial dalam usaha mereka menarik lebih banyak pelaburan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram