TIDAK tahu mana silapnya apabila rekod kehadiran penyokong di setiap venue perlawanan khususnya Liga Super akhir-akhir ini cukup membimbangkan.
Situasi itu seolah-olah memberi bayangan Liga Malaysia (Liga M) akan terkubur.
Paling ketara apabila penurunan drastik kehadiran penyokong dapat dilihat pada aksi minggu ke-19 Liga Super yang menyaksikan tidak sampai 10,000 peminat pada lima perlawanan baru-baru ini.
BACA LAGI: [VIDEO] DNA Kedah sudah kembali, fans Sang Kenari puji persembahan bakat muda
BACA LAGI: [VIDEO] Fans tak gemar lihat reaksi Arif Aiman 'ajak gaduh' lepas kaki dipijak pemain TFC
Berdasarkan semakan, aksi antara Penang FC dan Selangor FC di Stadium Bandaraya merekodkan 2,198 penyokong.
Manakala, jumlah kedua tertinggi adalah babitkan perlawanan Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan jumlah 2,046 peminat.
Ia diikuti Perak FC bertemu Kelantan Darul Naim di Manjung dengan 1,106 penyokong sahaja. Dua lagi aksi menyaksikan catatan di bawah 1,000 babitkan Sri Pahang menentang Kuala Lumpur City FC di Temerloh dengan kehadiran 956 penyokong.
Paling menyedihkan menyaksikan perlawanan antara Negeri Sembilan FC berdepan Sabah FC di Paroi yang hanya dihadiri 537 peminat.
Bercakap mengenai situasi berkenaan, pemerhati bola sepak, Afiq Rowley berpendapat masalah tunggakan gaji antara punca peminat tidak berminat untuk mengikuti perkembangan Liga Malaysia.
"Berbanding JDT dan Selangor yang dianggap selangkah lebih maju, pasukan lain tiada perkembangan begitu positif dan masalah tunggakan gaji semakin kerap kedengaran.
"Sedihnya, sokongan daripada peminat juga kian dilihat malap buat pasukan masing-masing. Seolah-olah aura itu makin terpadam," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, kelab-kelab Liga Super perlu mempromosikan lebih banyak tentang pasukan untuk meraih tajaan selain mengharapkan bantuan MFL.
"Tidak hanya bergantung kepada bantuan kerajaan negeri, kelab perlu bertindak mempromosikan pasukan daripada pelbagai cara untuk meraih dana tersendiri serta pelbagai tajaan.
"Kebergantungan kepada jaringan untuk mencipta lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak demi memastikan pasukan terus berkembang dengan cara tersendiri.
"Seperti saya katakan, saingan liga semakin suram dalam kalangan peminat, promosi perlu dilakukan MFL untuk menghidupkan kembali api sokongan sekali gus memastikan liga tempatan kita kembali meriah," jelasnya.
Afiq juga mengingatkan kelab bahawa mereka tidak boleh selesa jika pasukan tiada masalah tunggakan gaji yang mana perlu sentiasa mencari jalan ke hadapan untuk mencari sumber kewangan.
"Tidak boleh sentiasa selesa jika kelab anda tiada isu kewangan, sebaliknya perlu sentiasa melihat ke hadapan dan menggunakan setiap sumber dimiliki ke jalan tepat.
"Maknanya, tiada keperluan pembaziran sesuatu bukan keutamaan dan melihat gaya kelab lain berbelanja," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
