
HARIMAU Malaya kelihatan semakin berani untuk melangkah lebih jauh apabila kebelakangan ini, pelbagai perubahan sudah diterapkan bermula dengan rombakan terhadap barisan kejurulatihan.
Pelantikan Peter Cklamovski sebagai pengendali membuktikan cita-cita besar yang dipasang skuad kebangsaan sebelum dia dituruti Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama pasukan.
Kedua-dua wajah baharu arena bola sepak tanah air tersebut kemudian disusuli Dr Craig Duncan yang hadir sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan bagi Harimau Malaya.
BACA LAGI: Beri emoji tepuk dahi, Hai-O 'update' khabar angin sertai revolusi Harimau Malaya pada Februari
BACA LAGI: Hai-O dilapor semakin hampir sertai revolusi Harimau Malaya, TFC jumpa pengganti
Cklamovski memikul peranan besar bersama Harimau Malaya. — Majoriti
Namun, rombakan tersebut tidak terhenti di situ apabila baru-baru ini, khabar angin kuat mengatakan pasukan negara bakal diperkuatkan sekurang-kurangnya lapan pemain warisan atau naturalisasi.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hal itu, namun mula menyebarkan klu mengenai pemain yang bakal diserap dengan salah seorangnya kini beraksi dalam liga Belanda.
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga tidak terkecuali memberi bayangan dengan mengatakan mereka yang bakal beraksi buat skuad kebangsaan berasal dari negara-negara sekitar selatan Eropah.
Hal tersebut sekali gus menimbulkan sedikit keraguan kerana penyokong mahu pemain warisan memiliki pengalaman luas dalam liga teratas di benua tersebut berbanding mereka yang bermain dalam persekitaran kurang kompetitif.
Sekurang-kurangnya tujuh pemain warisan baharu akan diserap ke dalam Harimau Malaya.
Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, kehadiran mereka sudah sepatutnya mencukupi kerana mustahil untuk memanggil pemain yang berada di tahap lebih tinggi.
"Memang betul kerana kita lihat mereka bukanlah berada dalam liga-liga teratas sekitar benua itu, namun masih lagi di Eropah. Mungkin mereka lebih baik berbanding pemain tempatan dalam liga kita.
"Itu sudah memadai kerana kita sudah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menanggung mereka. Jadi, pada saya itu mencukupi dan lagipun, pemain berada dalam liga atasan pasti tidak mahu bermain buat Harimau Malaya," katanya kepada Majoriti.
Selain perlu membayar kos perjalanan setiap kali kalendar FIFA, badan induk bola sepak negara perlu memikirkan penginapan bagi memastikan semua yang beraksi di Eropah mampu memberikan persembahan terbaik.
Skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 tanpa pelaburan besar diperlukan. — Facebook/FAM
Namun, orang ramai tidak perlu khuatir mengenai kos perlu ditanggung kerana kerajaan mengumumkan suntikan dana mencecah RM30 juta sudah diberikan demi pembangunan bola sepak negara.
Pelaburan besar itu bagaimanapun perlu menghasilkan hasil lumayan memandangkan setiap penyokong mahu melihat kelainan daripada Harimau Malaya selepas menerima bantuan terbabit dihulurkan.
"Kita tidak boleh tolak ansur selain memastikan kita layak ke Piala Asia 2027. Tetapi, bukan sahaja layak kerana dahulu kita sudah boleh layak, jadi kali ini sekurang-kurangnya kita boleh mara ke peringkat suku akhir. Pasukan negara juga perlu layak ke Olimpik dan sebagainya.
"Sekiranya kita masih bergantung kepada pemain tempatan mungkin sukar untuk layak, tetapi dengan adanya bintang luar negara, saya yakin kita perlu capai lebih daripada dicadangkan. Jika tidak, sia-sia sahaja dan merugikan duit kerajaan dan rakyat," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram