11 tahun macam-macam alasan dan konspirasi — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 30 Jan 2025

TMJ menyeru supaya tindakan segera diambil untuk menangani isu dalam arena bola sepak tanah air.

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi membuat kenyataan terbuka dengan mengatakan kelab Liga Malaysia perlu lebih prihatin dalam menguruskan pasukan berbanding hanya menyalahkan pihak tertentu.

Dalam satu hantaran di laman X, beliau menyeru supaya tindakan segera diambil untuk menangani isu dalam arena bola sepak tanah air, terutamanya dari segi penetapan dasar.

"Kenalkan financial fair play dengan segera, badan pengadil mesti bebas dan bukan di bawah FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Tak puas hati juga, bayarlah pengadil luar negara.

"11 tahun macam-macam alasan dan konspirasi. Ibarat pasukan Bundesliga semua ajak ramai-ramai boikot liga kerana tak boleh cabar Bayern Munich, mindset is everything," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu kekasih bawa lelaki lain balik rumah jadi punca guru silat sumbat mayat wanita dalam bagasi merah

BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km

Pandangan itu disuarakan sebagai respons terhadap isu kehadiran penyokong yang semakin menurun kebelakangan ini.

Masalah itu menjadi buah mulut orang ramai yang mengatakan dominasi JDT menyebabkan sambutan bagi setiap hari perlawanan semakin merudim.

Malah, ada pula yang menunding jari ke arah segelintir pihak, termasuk Tunku Ismail sendiri dengan mengatakan terdapat campur tangan sehingga merencatkan mutu perlawanan.

Jadi, melihat hal itu terus menular di media sosial, pemilik JDT itu tanpa berselindung tampil memberi kenyataan sedemikian dengan ia bukanlah kali pertama kenyataan sedemikian dikeluarkan.

Cadangan diberikannya itu juga sepatutnya menjadi panduan buat pihak pengurusan kelab Liga Super yang masih mengalami isu stadium, tunggakan gaji serta masalah padang.

Sekiranya setiap hal itu dapat ditangani, terdapat kemungkinan kemeriahan arena bola sepak tanah air dapat dikembalikan, sekali gus menarik semula kehadiran penyokong ke stadium. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram