BEKAS penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar dilapor semakin hampir untuk menyertai barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang kini sedang melalui revolusi perubahan dengan kemasukan Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski.
Perkembangan mengenai status Hairuddin yang juga Penolong Ketua Jurulatih Terengganu FC itu dimaklumkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pada Ahad.
"Hairuddin Omar beri bayangan tinggalkan Terengganu dan difahamkan akan perkuat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya," tulisnya di laman X.
Dalam hantaran berasingan, seorang lagi wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memaklumkan posisi Penolong Ketua Jurulatih Terengganu FC ditinggalkan Hairuddin itu akan diisi oleh seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Rosdi Talib.
Hairuddin yang lebih dikenali sebagai Hai-O sebelum ini merupakan antara nama disebut-sebut berpotensi dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya.
Kedudukan penolong jurulatih pasukan Kebangsaan ketika ini disandang oleh E Elavarasan yang dilantik ketika di bawah era Kim Pan-gon pada 2022 lalu dan khidmatnya diteruskan di bawah teraju Pau Marti Vicente.
Untuk rekod, Hairuddin memiliki pengalaman selaku jurulatih sejak 2017 selaku penolong skuad B-19 tahun negara bersama Bojan Hodak.
Dia kemudian menyertai Terengganu FC sebagai penolong jurulatih pada musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram