JENTERA serangan Terengganu FC kelihatan semakin baik apabila mereka menyambut kepulangan semula penyerang import, Ivan Mamut yang baru pulih daripada kecederaan.
Mamut sebelum ini mengalami kecederaan pada awal musim dan terlepas semua aksi Terengganu hinggalah liga memasuki pusingan kedua.
Dengan Terengganu bakal berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir Piala Malaysia, kepulangan Mamut dianggap tepat pada waktunya kerana dapat menguatkan barisan serangan.
BACA LAGI: Penyokong TFC, KL City berpeluang jumpa bintang kesayangan di ibu negara Ahad ini
BACA LAGI: Badrul Afzan kembalikan sisi 'pemusnah' Akram Mahinan, jadi 'abang' buat pemain muda TFC
Ketika ini, Mamut dalam persiapan rapi untuk mendapatkan kecergasan serta ketajaman di pintu gol dan kehadiran semula pemain itu memberikan kelegaan buat skuad Terengganu.
"Mamut perlu berehat panjang selama hampir setahun dan menjalani rawatan di luar negara akibat kecederaan pada kaki kirinya. Dia juga dibenarkan menjalani rawatan pemulihan di Croatia untuk membolehkannya lebih selesa.
"Kepulangan Mamut membawa kelegaan dan berita gembira buat penyokong bola sepak yang sudah lama merindukan aksinya di padang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Sabri Abas.
Sabri turut berharap Mamut sudah bersedia untuk kembali beraksi dengan tugasan pertamanya selepas lama berehat adalah menggegar pintu gol JDT.
Musim lalu, Mamut menghasilkan 23 gol daripada 35 penampilan untuk Terengganu walaupun pada mulanya persembahan pemain agak perlahan.
"Kepulangan Mamut akan menguatkan lagi barisan serangan bersama-sama dua lagi pemain import iaitu Ismaheel Akinade dan Nelson Bonilla.
"Kami berharap dia akan cepat pulih dan boleh beraksi dalam Piala Malaysia berdepan JDT pada 17 Januari di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak," ujar Sabri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram