
JURULATIH beregu lelaki kebangsaan yang baharu, Herry Iman mengakui yang dia menerima pelbagai tawaran dari beberapa negara lain bagi mengendalikan skuad mereka.
Akan tetapi, Herry yang berusia 62 tahun memilih untuk membimbing bintang badminton Malaysia atas beberapa faktor terutamanya potensi ditonjolkan para pemain.
Jurulatih berpengalaman itu menggantikan Tan Bin Shen yang meninggalkan skuad kebangsaan untuk bersama Hong Kong.
BACA LAGI: 'Coach' beregu lelaki negara umum tinggalkan BAM, legenda Indonesia disebut jadi pengganti?
Menurut Herry, dia langsung tidak gementar dengan cabaran yang menantinya untuk membawa gandingan beregu lelaki negara ke tingkat lebih tinggi.
Malaysia merupakan kerjaya pertama Herry di luar Indonesia.
"Saya langsung tidak gementar. Saya terima pelbagai tawaran dari negara lain sebelum ini, tapi kenapa saya memilih Malaysia?
"Pertamanya kerana Malaysia dekat dengan Indonesia. Selain itu, makanan dan budaya adalah serupa, bahasa yang sama dan paling penting, saya nampak potensi dalam kalangan pemain," ujarnya.
Herry mendedahkan yang dia sudah pun bertemu beberapa pemain Malaysia ketika kejohanan Indonesia Masters yang diadakan pada 21 hingga 26 Januari.
Baginya, para pemain negara tidak asing baginya kerana sebelum memulakan tugasnya di Malaysia, Herry sudah banyak kali bertemu mereka seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King
"Benar, saya ada berjumpa mereka di Jakarta tempoh hari. Kami berbual, keluar makan bersama, dan saling beramah mesra antara satu sama lain.
"Para pemain ini tidak asing bagi saya, saya sudah jumpa mereka banyak kali," jelasnya.
Herry yang tiba di Malaysia pada Khamis dan akan memulakan tugas secara rasmi Sabtu ini. Tugasan bersama Malaysia adalah kerjaya pertamanya di luar Indonesia. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram