KHABAR angin ketika ini kuat mengatakan pembantu jurulatih Terengganu FC, Hairuddin Omar akan meninggalkan pasukan itu untuk menyertai revolusi Harimau Malaya.
Dia dilaporkan bakal menyertai Nafuzi Zain dalam skuad Bawah 23 Tahun (B-23) dengan kedua-duanya pernah bekerjasama dalam skuad Sang Penyu lebih kurang tiga tahun lalu.
Hairuddin atau turut dikenali dengan julukan Hai-O sudah tentu tidak berasa janggal akan peranan dalam skuad muda negara kerana pernah bergelar pembantu kepada Bojan Hodak dalam skuad B-19.
BACA LAGI: [VIDEO] Badrul Afzan nasihat banyakkan rehat untuk pulih daripada jadual padat — Safawi Rasid
BACA LAGI: Patut raih 1 mata tapi ketumpulan penyudah punca TFC tewas — Badrul Afzan
Nafuzi (kiri) ketika dibantu Hairuddin dalam skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Jadi, pengalaman diraih dalam dunia kejurulatihan di samping hubungan baik bersama pengendali B-23 ketika ini menjadikannya calon hangat untuk menjadi nama baharu dilantik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat.
Persoalannya, sekiranya jurulatih berusia 45 tahun itu berkelana, siapakah yang akan menggantikan peranan pembantu jurulatih kepada Badrul Afzan Razali dalam Terengganu FC?
Tanda tanya itu sudah tentu bermain dalam fikiran penyokong memandangkan ketika ini, tiada calon sesuai untuk memikul peranan berkenaan dengan hampir keseluruhan barisan kejurulatihan skuad Sang Penyu masih setahun jagung dalam bidang terbabit.
Bagaimanapun, bagi peminat menerusi akaun Facebook Terengganu 11, sudah terdapat jawapan mengenai hal itu apabila desas-desus mengatakan pegawai dalam Terengganu FC II, Rosdi Talib merupakan individu terbaik.
Rosdi sudah disebut-sebut sebagai pembantu Badrul Afzan ketika ini. — Facebook/Terengganu FC II
Bekas pemain skuad Sang Penyu itu sememangnya tidak lagi asing kerana sepanjang beraksi sebagai bek kiri pasukan, dia pernah diangkat sebagai antara pertahanan terbaik dimiliki kelab terbabit.
Selain itu, anak jati Kuala Terengganu berkenaan pernah beberapa kali menyarung jersi Harimau Malaya sepanjang kariernya, sekali gus menceritakan kualiti sebenarnya di atas padang.
Lebih menarik lagi, disebabkan kagum akan kebolehannya, pemain itu pernah diberi gelaran 'Giggs Malaysia' oleh bekas pengendali negara, Allan Harris kerana dia kerap membantu jentera serangan meskipun hanya beraksi dalam barisan pertahanan.
Keunggulannya tidak hanya terbatas di situ kerana pada musim lalu, Rosdi yang kini berusia 48 tahun turut terlibat dengan Terengganu FC II yang muncul sebagai juara Piala MFL.
Rosdi boleh diangkat sebagai antara bek kiri terbaik dimiliki skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Sentuhannya sudah tentu diharapkan dapat membantu Badrul Afzan sekiranya Hairuddin memilih untuk menyertai revolusi Harimau Malaya dan FAM dengan peluang terbabit sukar ditolak.
Badrul pada Oktober diberi tanggungjawab sebagai pengendali Terengganu FC selepas pihak pengurusan mengambil keputusan merehatkan Tomislav Steinbruckner susulan permulaan musim kurang memuaskan.
Perubahan itu sedikit sebanyak memberi kesan kerana skuad Sang Penyu masih berada dalam landasan untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas Liga Super selain mara ke pusingan kalah mati Piala Shopee.
Namun, sehingga kini, jurulatih terbabit masih memegang gelaran pemangku dengan terdapat kemungkinan pihak atasan tidak mahu terburu-buru memberi kepercayaan penuh terhadapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram