Irfan Bakti masih dalam tempoh bertenang, enggan buru-buru sain kontrak


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 28 Jan 2025

Irfan Bakti mengemudi Kelantan Red Warrior. — Facebook/KRW FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SIDANG akhbar memperkenalkannya selaku ketua jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC – pasukan yang sudah memohon menyertai Liga A1 Semi-pro musim 2025/2026 – harus mengesahkan kembalinya Irfan Bakti Abu Salim dalam kancah Liga Malaysia.

Malah, dalam sidang akhbar di Kota Bharu pada 18 Januari lalu, jurulatih veteran berusia 73 tahun itu berkongsi keterujaannya ditawarkan tanggungjawab berkenaan selepas rutin hariannya sama sekali berubah sejak meletakkan jawatan ketua jurulatih Kuching City FC berkuatkuasa 18 Julai 2023.

Bercakap mengenai stres yang dilaluinya ketika menduduki kerusi ketua panas ketua jurulatih ketika itu, beliau bagaimanapun tidak pernah menyatakan ia adalah penamat kepada kerjaya kejurulatihannya yang bermula dengan pasukan bawah 23 tahun kebangsaan pada 1997.

BACA LAGI: Bekas orang kanan teruja KRW lantik Irfan Bakti, ramal pasukan dibarisi bekas pemain Kelantan

BACA LAGI: KRW lantik Irfan Bakti sebagai jurulatih, ramai petik nama legenda termasuk Indra Putra ikut sama

Kemudian, dalam majlis perasmian ‘Jelajah Kelantan Red Warriors - The Next Hero’ di Kota Bharu pada 24 Januari lalu, Irfan Bakti berkongsi keutamaannya untuk memilih 24 hingga 26 pemain untuk KRW FC yang bukan sahaja boleh menjaringkan gol tetapi juga bukan ‘penumpang’ dalam pasukan.

Selepas mengakui sebelumnya bahawa kegilaan penyokong bola sepak Kelantan menjadi pendorong kuat beliau menerima pelantikan berkenaan, tidak hairan jika Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan, dan dua penolong jurulatih, Anizan Daud dan Sidek Shamsuddin, semuanya teruja.

Lagipun, Kelantan adalah pasukan yang menaikkan nama Irfan Bakti selaku pemain tengah dari 1971-1974 dan disusuli penyertaannya dalam angkatan tentera dan mewakili ATM FA dari 1975-1977 – tempoh yang menyaksikannya terpilih dalam pasukan kebangsaan pada 1976.

“Niat saya nak berehat sebenarnya tapi mereka (KRW FC) mahukan saya juga,” kongsinya dengan Bola Pegun. “Saya baru sain MoU (memorandum persefahaman), belum ada kontrak.

“Tak ada garis masa, lagipun musim baru masih lambat lagi bermula bulan Jun, jadi saya tak perlu buru-buru nak sain kontrak (ketua jurulatih),” tambahnya sambil menganggap masa yang ada hingga bermulanya musim baru nanti sebagai ‘tempoh bertenang’.

Tambahan ketika ini, beliau masih berulang-alik di antara Shah Alam dan Kota Bharu – di mana beliau memiliki sebuah rumah di Jalan Telipot – untuk mengendalikan ujian pemilihan pemain yang sudah disusun sepanjang bulan ini dan bulan depan.

Irfan Bakti tetap memberi komitmen kepada pencarian bakat untuk pasukan yang sudah dilakukan di Kota Bharu dan Gua Musang dan seterusnya akan diperluaskan ke semua daerah di Kelantan di samping satu sesi di Lembah Klang.

“Kita kena cari pemain-pemain yang dah berpengalaman (dalam Liga Malaysia) bersama pasukan-pasukan lain dan cuba pujuk mereka (sertai KRW). Ada ramai, lebih 20 hingga 30 pemain dalam kalangan anak Kelantan di luar sana untuk kita ikhtiarkan,” katanya.

Sebelum ini, Nik Hafiz Naim turut berkongsi bahawa KRW melalui pelbagai tapisan jurulatih hinggalah sampai kepada pemilihan Irfan Bakti – jurulatih yang telah membimbing pelbagai pasukan sepanjang 23 tahun dalam Liga Malaysia sejak kali pertama menduduki kerusi ketua jurulatih Negeri Sembilan pada musim 1999.

Dalam musim sulungnya itu, skuad Jang menduduki tangga ketiga liga di samping mara sejauh separuh akhir Piala Malaysia.

Lama sesudah itu, rajuk hatinya kerana berasa dipermainkan, kekecewaan yang tidak tertanggung olehnya di samping gangguan ‘tangan-tangan ghaib’ dianggapnya sudah menjadi asam-garam.

Sebelum pengenalan Liga Super pada 2004 lagi, beliau lebih dahulu mengecap kejuaraan liga Divisyen Satu bersama Pulau Pinang pada 2001, disusuli kejayaan menjulang Piala FA pada tahun berikutnya.

Selepas beberapa tahun berselang yang menyaksikan jurulatih itu ketandusan gelaran ketika membimbing Telekom Melaka FC (2005-2006) dan Perlis (2008-2009), Irfan Bakti kembali bergelar juara tatkala menjulang Piala FA bersama Terengganu pada 2011.

Kebanyakan pasukan yang dilatihnya sekurang-kurangnya pernah mengecap kedudukan naib juara -- Pulau Pinang (naib juara Piala FA 2000), Telekom Melaka (naib juara Liga Super 2006), Persipura FC (naib juara Liga Indonesia 2007), Perlis (naib juara Liga Super 2009), Selangor (naib juara Liga Super 2012) dan Felda United (naib juara Liga Super 2016).

Selain beberapa piala yang dimiliki, Irfan Bakti menagih sedikit pengiktirafan daripada kejayaan membawa empat pasukan dinaikkan ke Liga Super daripada Liga Perdana -- Telekom Melaka FC (2004), Felda United (2014), Terengganu (2017) dan Kuching City (2021).

Pada penghujung tempohnya bersama Kuching City FC, beliau mengungkapkan: “Keputusan untuk bersara sebenarnya sudah saya tangguhkan beberapa kali. Musim ini adalah yang terakhir. Saya dah terlalu penat.”

Ungkapan itu bagaimanapun terhenti setakat itu hinggalah KRW FC menawarkan untuknya kembali ke petak teknikal di tepi padang semula pada musim baharu nanti.

“Saya kena fikir panjang... bukan fikir diri sendiri tapi fikirkan pemain,” katanya sebagai mempertimbangkan untuk menurunkan tantangannya di dokumen kontrak yang bakal ditawarkan KRW FC dalam masa terdekat ini.

“Kena bincang panjang lebar dulu,” kata Irfan Bakti yang membayangkan faktor kewangan akan menjadi perkara pokok, sesuai dengan pengorbanan tenaga dan masa yang akan diberikannya, “kerana nak mentadbir bola sepak ni bukan mudah.”

Harus kepada Nik Hafiz Naim dan keluarga kecil KRW FC pula, Irfan Bakti adalah ketua jurulatih mereka tanpa sebarang pengecualian lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram