Usia sudah lanjut, 3 import Liga Super 'diperam' dalam skuad Piala MFL


  • Podium
  • Khamis, 16 Jan 2025

Selain Murilo, pemain veteran JDT, Shane Lowry juga diturunkan pangkat buat sementara waktu bagi membantu Harimau Selatan mengutip tiga mata penuh menentang Perak II di Stadium Manjung, Perak pada Selasa.

SEBAGAI Liga Simpanan Bawah-23 untuk Liga Super Malaysia, Piala MFL merupakan edisi pertama penganjuran kejohanan itu pada 2023, bertujuan memberi pendedahan kepada pemain remaja bawah 23 tahun untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Kejohanan tersebut merupakan medium terbaik bagi para pemain muda untuk menunjukkan kebolehan agar terpilih bermain dengan pasukan utama mereka di Liga Super Malaysia.

Untuk meningkatkan daya saing Piala MFL, setiap kelab dibenarkan menggunakan maksimum tiga pemain import dan dua pemain lebih umur di atas padang pada satu-satu masa, mengikut keperluan dan percaturan pasukan.

BACA LAGI: 'Terengganu dalam momentum baik', Juan Muniz jangka aksi semifinal Piala Malaysia di SSMZA sukar

BACA LAGI: Hatrik Wenzel-Halls ditagih tumbangkan Gergasi Merah di semifinal Piala Cabaran

Piala MFL juga memberikan peluang kepada lima pemain senior untuk terus beraksi secara kompetitif dan mengekalkan kecergasan sekiranya tidak beraksi untuk pasukan utama di Liga Super Malaysia.

Oleh itu, terdapat tiga pemain Liga Super yang kini diletak dalam skuad Piala MFL untuk kekal beraksi secara kompetetif dan mengekalkan kecergsasan.

Murilo..

Murilo dilihat membantu JDT II untuk terus memperkukuhkan kedudukan dalam saingan Piala MFL.

1. Murilo Henrique

Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Murilo Henrique baru-baru ini mencuri tumpuan penyokong Harimau Selatan apabila tidak kelihatan dalam sesi latihan.

Begitupun, kehilangan Murilo akhirnya terjawab apabila dilihat beraksi bersama JDT II dalam saingan Piala MFL pada Selasa menentang Perak FC II di tempat lawan.

Dengan usianya yang mencecah 30 tahun itu dilihat berdepan dengan masalah kecergasan dalam mengekalkan rentak permainan, peluang diberikan dalam pertandingan tersebut sememangnya munasabah.

Meskipun dilihat memberi sumbangan kepada JDT II, kehadiran Murilo seolah-olah menunjukkan bahawa kemampuannya lebih sesuai untuk bersaing dengan 'ubi muda' dan bukannya skuad utama.

Untuk rekod, Murilo sudah tampil dalam tiga perlawanan Piala MFL dan mencetak satu gol buat JDT II dengan pasukan itu kini berada di kedudukan teratas.

Telmo

Telmo (kanan) membantu skuad Sabah FC II dalam saingan Piala MFL 2024.

2. Telmo Castanheira

Pemain tengah Sabah FC, Telmo Castanheira merupakan seorang pemain yang sering menjadi tonggak utama pasukan senior dalam kesemua penampilan.

Kehadiran Telmo di bahagian tengah skuad Sang Badak sering membawa kekuatan dan kewibawaan dalam membantu jentera serangan Sabah.

Keupayaannya memberikan impak berbeza menjadikan tonggak berusia 32 tahun itu pemain berharga walaupun usianya semakin meningkat.

Bagaimanapun, dia juga pernah kali diletakkan dalam skuad Piala MFL dalam usaha kelab Borneo itu mengembalikannya ke tahap kecergasan terbaik.

Untuk rekod, pemain kelahiran Portugal itu baru-baru ini membantu Sabah FC II meraih kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur City Extension.

Meskipun begitu, kekerapan Telmo diturunkan bersama Sabah FC II menunjukkan bahawa kehadirannya dalam skuad utama semakin kurang relevan.

Keputusan itu dilihat merencatkan corak permainan pemain muda yang dilihat kehilangan tempat untuk beraksi.

Chijioke

Penyerang berbisa TFC II, Nnabuike Chijioke Chukwu.

3. Nnabuike Chijioke Chukwu

Penyerang Terengganu FC, Nnabuike Chijioke Chukwu antara import yang cukup dikenali dalam membantu skuad Terengganu FC II.

Untuk rekod, Chukwu Chijioke yang juga bekas penyerang PDRM FC II itu merekodkan 13 jaringan buat PDRM FC II yang beraksi di Piala MFL musim lepas.

Beraksi bersama TFC II, Chukwu Chijioke sudah mencatatkan dan penampilan dan menjaringkan empat gol, termasuk jaringan hatrik ketika berdepan PDRM FC II.

Meskipun begitu, ketajaman Chukwu Chijioke sebagai penyerang dilihat lebih terserlah dalam Piala MFL, kerana dia jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama TFC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram