TIDAK banyak perbezaan dapat disaksikan antara skuad senior dan pasukan simpanan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masing-masing bergelut dalam kejohanan disertai musim ini.
Skuad Sang Kenari yang dikenakan pemotongan tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berada di kedudukan ketujuh selepas mengharungi 17 perlawanan dengan isu di luar padang pasti terus memberi impak terhadap kesungguhan.
Bagi KDA FC B yang beraksi dalam Piala MFL pula, 18 mata yang dikutip setakat 16 perlawanan meletakkan mereka di kedudukan ke-11 dengan 12 mata dibezakan berbanding pasukan tercorot, Sabah FC II.
BACA LAGI: [VIDEO] Ketepikan rasa kecewa akibat kekalahan, Rizal luang masa bertemu fans Sang Badak
Skuad muda Sang Kenari mencatatkan kemenangan ke atas Sabah FC II. — Facebook/KDA FC B
Namun, pada Rabu, penyokong Hijau Kuning dapat mengukir senyuman selepas pasukan itu meraih kemenangan keenam mereka selepas menundukkan skuad muda Sang Badak untuk menambah baik kedudukan dalam carta Piala MFL.
Mereka yang menerima kunjungan pihak lawan di Stadium Mini MPKP, Kedah memulakan aksi dengan cemerlang selepas Aiman Farhan mencetak gol pada minit ketiga sebelum Akmal Hakim Rosli menggandakan kelebihan pada babak kedua.
Walaupun defisit kelebihan dikecilkan selepas penyerang Sabah FC II, Sahrizan Saidin mencetak jaringan buat pasukannya, KDA FC B terus bertahan untuk pulang dengan senyuman.
Tetapi, apa yang lebih menarik mengenai perlawanan itu adalah apabila penyokong terlihat kelibat bek sayap senior, Rizal Ghazali yang turut beraksi buat skuad bimbingan Khairul Ismail itu.
Rizal (kanan) ketika bersiap diri sebelum perlawanan bermula. — Facebook/KDA FC B
Dalam beberapa kepingan foto yang dimuat naik sebelum perlawanan, pemain berusia 32 tahun itu kelihatan memanaskan badan di tepi padang bersama beberapa pemain muda lain.
Kehadirannya sedikit mengejutkan kerana dia sudah lama tidak beraksi buat skuad utama, namun masih beraksi dalam Piala MFL yang berada di bawah standardnya sebagai bintang utama pasukan.
Ini bukanlah kali pertama Rizal diturunkan dalam kejohanan tersebut kerana dalam aksi menentang pasukan muda Sri Pahang FC pada 17 September lalu, dia beraksi selama 90 minit.
Sekiranya Rizal beraksi dalam Piala MFL untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik, penyokong sudah tentu mengharapkan khidmatnya dapat ditagih segera, lebih-lebih lagi dengan KDA FC kini terumbang-ambing dalam Liga Super.
Namun, jika bekas pemain Harimau Malaya itu diletakkan dalam skuad simpanan disebabkan isu gaji, keputusan itu pasti mengecewakan kerana pengalamannya hanya disia-siakan pihak kejurulatihan Sang Kenari.
Kali terakhir bek sayap tersebut beraksi dalam pasukan senior adalah ketika perlawanan Liga Super di laman sendiri menentang Penang FC yang berakhir dengan kemenangan buat KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram