MALAYSIA semakin hampir untuk mendapatkan pemain warisan baharu yang mempunyai pertalian darah dengan Belanda.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam proses akhir untuk mendapatkan pemain tersebut mewakili skuad kebangsaan.
Dalam kenyataannya pada Selasa, usaha untuk mendapatkan pemain tersebut kini di peringkat memperoleh pasport. Jika berjaya mendapatkannya, pemain tersebut sah boleh mewakili Malaysia.
BACA LAGI: 'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend
BACA LAGI: Faham budaya bola Malaysia cabaran terbesar Rob Friend majukan Harimau Malaya
Dalam masa yang sama, Friend berharap tiga lagi pemain warisan yang akan berjaya diikat FAM bagi membolehkan mereka mewakili Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia 2027.
"Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
"Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac, dan dengan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya," kata Friend.
Dalam pada itu, Friend memberikan jaminan walaupun Harimau Malaya aktif mendapatkan pemain warisan, mereka tidak melupakan bakat keluaran tempatan.
Jelasnya, adalah menjadi strategi mereka bagi mencipta sebuah pasukan yang seimbang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Walau bagaimanapun, kami tetap sama-sama komited untuk mencapai hasil dalam pembangunan pemain domestik di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
"Walaupun naturalisasi adalah antara komponen penting dalam strategi kami, kami memahami kepentingan memupuk bakat tempatan untuk memastikan kejayaan yang mampan untuk pasukan kebangsaan.
"Matlamat kami adalah untuk mewujudkan skuad seimbang dan berdaya saing yang mewakili kebanggaan dan semangat bola sepak Malaysia," jelas Friend. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram