Faham budaya bola Malaysia cabaran terbesar Rob Friend majukan Harimau Malaya


  • Podium
  • Rabu, 08 Jan 2025

Friend (tengah) mesti memahami landskap bola sepak tempatan untuk majukan Harimau Malaya. — Agensi

KEHADIRAN Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan memberikan harapan kepada revolusi yang cuba dilakukan Harimau Malaya.

Friend mempunyai resume yang kuat sebagai seorang pemain, serta individu yang mahir dengan pengurusan bola sepak dari segi aspek luar padang.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang, tetapi Friend masih lagi berdepan beberapa cabaran untuk memastikan revolusi Harimau Malaya ini berjaya.

BACA LAGI: Identiti terjawab, Rob Friend bekas bintang LA Galaxy dilantik CEO pertama FAM

BACA LAGI: 'Bukan tak percaya bakat lokal, cuma memori lalu buatkan FAM pilih kepakaran luar'

Memahami bola sepak tempatan

Perkara pertama yang perlu difahami oleh Friend adalah 'berkawan' dengan bola sepak tempatan. Maksudnya di sini, dia perlu mempelajari dan memahami suhu bola sepak di negara.

Ia termasuklah memahami budaya, ekosistem serta dan pandangan warga tempatan mengenai satu-satu isu dalam bola sepak.

471192977_1293520235054543_1089221086065744337_n

Friend perlu memahami landskap bola sepak Malaysia. — FAM

Mungkin di negara asalnya, Kanada, bola sepak difahami dengan cara berlainan dengan Malaysia terutamanya dalam aspek pentadbiran dan pengurusan. Oleh itu, Friend perlu memahaminya dahulu.

Dia boleh cuba untuk menerapkan pendekatannya tetapi haruslah disulami dengan elemen tempatan. Jika berkeras menggunakan caranya semata-mata, berkemungkinan Friend akan mengalami masalah dalam menjelmakan revolusi Harimau Malaya.

Meluaskan jaringan di Asia Tenggara

Friend mempunyai jaringan (network) yang luas di benua seperti Amerika Utara dan Eropah. Tetapi, Asia Tenggara menjadi wilayah baharu dan misteri untuknya.

Untuk itu, Friend perlu memastikan jaringannya di Asia Tenggara terutamanya Malaysia berada dalam keadaan terbaik. Dia harus memastikan hubungannya dengan pemegang taruh dalam bola sepak tempatan terjaga sepenuhnya.

canadian-premier-league-rob-friend-1024x569

Friend (kanan) perlu bijak mencari jaringan bersama pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia. — Agensi

Setiap pihak, termasuklah badan penganjur liga, kelab-kelab dan para penaja harus dijaga dengan baik oleh Friend bagi memastikan manfaatnya akan dinikmati sepenuhnya oleh Harimau Malaya.

Dan paling penting, Friend harus menjaga hubungan baiknya dengan penyokong Harimau Malaya yang beraneka pendapat. Sekiranya dia berjaya memenangi hati penyokong, pasti dia akan menjadi seseorang yang popular dalam kancah bola sepak tempatan.

Cepat sesuaikan diri

Satu lagi cabaran menanti Friend adalah untuk memastikan dirinya cepat menyesuaikan diri dengan tugas sebagai CEO Harimau Malaya.

Sebelum ini, dia sudah pun menjadi CEO dan juga pengasas kepada beberapa kelab di Kanada termasuklah menjadi sebahagian daripada individu penting menubuhkan liga domestik di negara itu.

Rob-Friend

Friend mempunyai pengalaman menjadi CEO beberapa kelab di Kanada.

Pengalaman itu menjadi batu asas yang baik untuknya dalam menjalankan tugas di Kelana Jaya. Dengan cabaran dan suasana baharu, pastinya Friend tetap memerlukan sedikit masa untuk menyerlah.

Harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk melihat Malaysia berjaya. Jika kena caranya, Harimau Malaya pasti bangkit.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram