Status 'pakar seri' membimbangkan, fans Tok Gajah risau skrip sama bertemu The Rhinos


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

Sri Pahang hanya mampu seri apabila bertemu KL City dalam aksi Liga Super pada Ahad. — Facebook/Sri Pahang FC

KELAB Liga Super, Sri Pahang FC masih mempamerkan rentak kurang memberangsangkan mereka apabila sekadar seri berdepan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super pada Ahad.

Skuad kendalian Fandi Ahmad itu terpaksa mengharapkan jaringan daripada Stefano Brundo pada minit akhir permainan bagi memadam kelebihan KL City yang diraih menerusi Kenny Pallraj.

Keputusan itu nyata merisaukan kerana skuad Tok Gajah sudah lima perlawanan tanpa kemenangan dalam semua pertandingan.

BACA LAGI: Ikat Sabah di Likas, Kpah Sherman kagum kudrat 2 pemain muda Sri Pahang

BACA LAGI: Bukan JDT, Sri Pahang-Sarawak-Kelantan sebenarnya 'pioneer' rekrut pemain warisan

Dalam aksi lima perlawanan terakhir, Sri Pahang hanya mampu seri tiga kali serta tumpas dua kali. Kemenangan terakhir mereka adalah ketika menewaskan Perak FC 1-0 semasa suku akhir pertama Piala Malaysia, 13 Disember lalu.

Dengan mereka akan melayan kunjungan Sabah FC pada separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Ahad, sudah pasti penyokong tidak mahu satu lagi keputusan seri dicatatkan atau lebih teruk, merekodkan kekalahan.

Pada aksi pertama, Sri Pahang mengikat Sabah 1-1. Keputusan seri itu menyebabkan Tok Gajah dianggap 'pakar seri' tanpa mempunyai kemampuan untuk menang.

Penyokong Sri Pahang jelas risau dengan keadaan tersebut kerana jika tiada sebarang perubahan, pastinya Sabah akan menyingkirkan mereka sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Macam tu sajalah Sri Pahang dalam liga, kalau tak kalah, seri. Tenat sangat ni, tak tahu nak cakap apa dah. Kena fikirkan pasal musim depan kalau tak nak jatuh," ujar penyokong bernama Fadzil Hafiz.

"Nasib baik seri itu pun dapat penalti, kalau tak mesti dah bungkus. Separuh akhir kedua Piala Malaysia, Sabah akan menang 1-0 lawan Sri Pahang, bermakna Sabah akan ke perlawanan akhir jumpa Johor Darul Ta'zim," kata Salim Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram