'Tengok hasil baru komen', 'ekor' Harimau Malaya mahu tunggu dan lihat impak taktikal Rob Friend


  • Podium
  • Rabu, 15 Jan 2025

Dua individu penting bagi revolusi Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dan Dr Craig Duncan tiba di Malaysia bagi membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

KEM Harimau Malaya menyambut baik kehadiran dua individu penting bagi revolusi Harimau Malaya, Robert Douglas Friend dan Dr Craig Duncan yang sudah melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Selasa.

Berita baik itu dikongsikan oleh FAM menerusi laman sosial Facebook badan induk itu yang disambut oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Pada 31 Disember lalu, FAM mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.

BACA LAGI: Hatrik Wenzel-Halls ditagih tumbangkan Gergasi Merah di semifinal Piala Cabaran

BACA LAGI: 'Terengganu dalam momentum baik', Juan Muniz jangka aksi semifinal Piala Malaysia di SSMZA sukar

Rob Friend yang juga bekas pemain kebangsaan Kanada itu hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.

Sementara itu, Duncan pula dilantik sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan iaitu salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.

Duncan pula bertanggungjawab dalam mengetuai hal berkaitan prestasi tinggi berdasarkan pengalaman luas dan kepakarannya dalam bidang prestasi manusia.

Susulan pengumuman tersebut, ramai penyokong Harimau Malaya menyambut baik kehadiran kedua-dua individu itu, walaupun ada segelintir yang skeptikal terhadap niat baik badan induk berkenaan.

"Apa sekalipun corak perubahan yang dilakukan, kita sebagai penyokong sepatutnya memberi sokongan, tengok hasil dulu baru kecam," kata Muhamad Alrizal Rizal.

"Tolonglah, have faith, trust the process, insya-ALLAH ada sinar, jangan main hentam saja, belum mula sudah hentam, payahlah macam ini punya mentaliti," kata Arasy Bahtar.

"Tak perlu komen lebih-lebih, insya-ALLAH skuad kebangsaan makin teratur selepas ini, semoga ada manis-manis untuk Harimau Malaya, tunggu dan lihat," kata Izzuddin Shafika. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram