Ranking mencanak, Indonesian Masters ‘ang pow’ terbesar pernah diterima Man-Tee


  • Podium
  • Isnin, 27 Jan 2025

Man-Tee raih kemenangan pertama dalam kejohanan bertaraf Super 500 dalam karier mereka. — Agensi

KEJAYAAN mendakap kejuaraan Indonesia Masters buat pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dianggap sebagai hadiah paling bernilai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Kemenangan mereka amat bermakna kerana Man-Tee berjaya meraihnya selepas menewaskan pasangan Indonesia yang juga pilihan pertama kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Ardianto dengan keputusan 21-11, 21-19 pada Ahad.

Sebagai rekod, ia adalah kemenangan pertama Man-Tee ke atas pasangan tersebut dalam empat percubaan.

BACA LAGI: Wei Chong-Kai Wun senyapkan satu Istora Senayan, kejutkan pasangan tuan rumah ungguli Indonesian Masters

BACA LAGI: Pearly-Thinaah kempunan rangkul kejuaraan Master Indonesia

Gandingan beregu negara itu membawa pulang 'ang pow' besar selepas muncul juara kejohanan Super 500 dalam Jelajah Dunia BWF. Lebih menarik, masanya hadir tepat semasa mereka hendak menyambut sambutan Tahun Baharu Cina.

Mereka meraih USD37,525 (RM164,284) hasil menjadi juara kejohanan itu selepas kali terakhir memenangi sebarang pertandingan semasa Terbuka Taiwan 2023.

"Ia adalah satu pencapaian yang hebat kerana kami tidak pernah memenangi gelaran Super 500 sebelum ini dan kami kalah kepada gandingan Indonesia ini empat kali berturut-turut.

"Kami sangat gembira hari ini (Ahad) tapi hari ini (Isnin) adalah hari baharu. Kami tidak mahu terlalu memikirkannya dan kami mahu terus fokus kepada kejohanan seterusnya.

"Wang kemenangannya sangat baik untuk kami yang menyambut Tahun Baharu Cina. Kami akan pulang ke pangkuan keluarga selama dua hari untuk menyambutnya," jelas Man-Tee.

Kedua-dua Man-Tee akan pulang ke Melaka bagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarga tersayang.

Hasil daripada kejuaraan itu, Man-Tee turut mendaki dalam ranking dunia apabila melonjak satu anak tangga dari tempat ke-13 kepada kedudukan ke-12 dunia.

Mereka memintas pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy yang turut ke tangga ke-13 dunia. Ia menjadikan Man-Tee beregu lelaki ketiga negara di belakang Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram