DALAM usaha mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak di Pantai Timur, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) mengambil keputusan menubuhkan Kelantan Red Warriors (KRW).
Kelab yang akan mengenakan warna merah sebagai warna utama pasukan selain menggunakan logo lama Kelantan FA dilihat sudah menerima sokongan daripada peminat di negeri berkenaan.
Malah, cita-cita besar yang diletakkan turut didengari apabila pada Khamis, mereka mengumumkan kehadiran jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim sebagai pengendali baharu mereka.
BACA LAGI: 'Pakai kasut, terus berlari', TD KLFA titip pesanan supaya CEO baharu MFL laju bekerja
Irfan Bakti diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu KRW FC. — Facebook/KRW FC
Dia yang pernah membimbing beberapa pasukan seperti Terengganu dan Selangor sememangnya diharapkan dapat mengemudi KRW ke arah kegemilangan dalam setiap langkah diambil.
Jadi, tidak hairanlah kehadiran jurulatih berusia 74 tahun itu menerima sokongan pelbagai pihak, terutamanya daripada bekas pembantunya, Sulaiman Hussin ketika mereka berdua berada di Kuching City FC.
"Kita semua tahu mengenai pengalaman dimilikinya. Jadi, saya boleh katakan KRW beruntung kerana dapat memujuknya untuk kembali melatih pasukan. Melihat kepada tempoh saya bersamanya, coach Irfan memiliki sasaran yang sangat tinggi dalam apa sahaja dilakukan.
"Oleh itu, saya pasti apabila dia menerima (tanggungjawab) menjadi pengendali KRW, dia mesti tahu bagaimana mahu bawa pasukan ini kembali ke Liga Super. Saya percaya dia akan kenal pasti pemain yang menepati kehendaknya," kata Sulaiman kepada Majoriti.
Selain berpengalaman dalam divisyen teratas tanah air, Irfan Bakti pernah menimba pengalaman di tahap lebih rendah apabila menerima tawaran mengendalikan Kuching City bermula 2020 ketika mereka masih berada dalam Liga Perdana.
Sulaiman (kanan) beranggapan keputusan KRW memujuk Irfan Bakti menarik untuk disaksikan.
Meskipun tidak membawa sebarang kejayaan gilang-gemilang, jurulatih kelahiran Perak berkenaan membantu skuad The Cats membina asas kukuh sehingga mereka kini menjadi antara kelab dihormati dalam Liga Super.
Sentuhan sedemikian pasti diharapkan KRW yang sudah tentu bercita-cita untuk digeruni dalam divisyen teratas, namun tidak mahu terburu-buru sehingga membawa kerugian terhadap diri sendiri.
Dalam pada itu, Sulaiman yang pernah bertugas sebagai jurulatih interim Kuching City FC yakin Irfan Bakti akan membawa masuk pemain senior dalam Liga Super bagi memperkuatkan pasukan baharunya itu.
"Kemungkinan besar dia akan memanggil bekas pemain Kelantan yang beraksi dalam Liga A1. Saya juga meramal pasukan skuad bimbingan Irfan Bakti tidak akan terdiri daripada terlalu ramai bintang senior, namun tidaklah mengumpulkan pemain muda terlalu ramai.
"Saya lihat dengan adanya kehadiran pemain muda ini, sedikit sebanyak mereka akan membantu pasukan untuk terus mencapai kejayaan kerana dia tidak menunggu lama untuk meraihnya," katanya lagi.
Melihat kepada pilihan dimiliki dalam Liga A1 Semi Pro ketika ini, terdapat beberapa bekas pemain Kelantan FC yang boleh disambar seperti Nurshamil Abd Ghani dan Indra Putra Mahayudin dari PT Athletics FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram