SELANGOR FC terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila tidak berjaya mempertahankan pendahuluan dimiliki mereka ketika bertemu Penang FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Gergasi Merah bermula baik apabila berjaya mendahului menerusi Ronnie Fernandez pada minit ke-10 sebelum Rafael Vitor menyamakan kedudukan ketika masa kecederaan separuh masa kedua.
Apa yang mengecewakan mereka adalah gol Harimau Kumbang itu hadir akibat tindakan Safuwan Baharudin yang mengasari Alif Ikmalrizal.
BACA LAGI: Keputusan ref di Stadium Bandaraya kecewakan Selangor raih 3 mata
BACA LAGI: Sebelum Harimau Malaya, Selangor FC antara 3 kelab pernah sarung jersi Puma
Pada mulanya, pengadil tidak memberikan sepakan penalti kepada Penang terhadap insiden itu. Namun begitu, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Safuwan mengasari Alif dan pengadil mengubah keputusan tersebut.
Melihat kepada insiden itu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan mendapati, Safuwan bukannya sengaja berbuat demikian sebaliknya dia hanya fokus untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya.
Menerusi rakaman ulang tayang turut mendapati mata pemain kebangsaan Singapura itu hanya tertumpu kepada bola (eyes on the ball) dan bukannya kepada pihak lawan.
"Kita dapat lihat insiden itu, memang Safuwan tak nampak apa-apa. Memang dia tahu, bola tu dia (cuma) nak clear.
"Tetapi inilah dia, dalam keadaan padang sebegini, perlu lebih berhati-hati kerana bola itu berhenti di situ. Safuwan nak buat satu clearance tapi pemain Penang itu boleh dikatakan satu langkah ke depan daripada belakang untuk menguis bola tersebut. Safuwan pula kaki dah hayun, jadi memang kenalah," jelas Zainal.
Pada perlawanan pada Sabtu, aksi di Stadium Bandaraya, George Town diadakan dalam keadaan padang becak semasa separuh masa kedua kerana hujan lebat.
Sebelum itu, aksi pada separuh masa pertama berjalan dengan lancar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram