TFC hilang kapten, bintang utama berdepan JDT


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Ott (kanan) tidak akan turun menentang JDT pada Sabtu. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC bakal tempang apabila berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

Memetik laporan Stadium Astro, pengendali Terengganu, Badrul Afzan mengesahkan yang skuad Penyu akan tempang tanpa empat pemain utama bertemu JDT.

Badrul mengesahkan yang Manuel Ott, Alif Zakaria, Safawi Rasid dan Azam Azmi tidak akan diturunkan berdepan Harimau Selatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Piala Shopee: Balotelli ancaman utama Terengganu FC kutip 3 mata penuh di halaman sendiri

BACA LAGI: Pak cik OKU rupanya bekas penuntut UPM, pernah wakili SUKMA harumkan nama Terengganu

Walaupun beraksi tanpa empat pemain utama tetapi Badrul masih mengharapkan Terengganu dapat mengimbangi kekuatan JDT apabila beraksi di laman sendiri.

"Persiapan sedikit terjejas melibatkan dua pemain mengalami kecederaan.

"Kami akan cuba untuk mengimbangi kekuatan JDT selain sasaran satu mata menjadi fokus utama kami," ujar Badrul.

Ott dan Alif mengalami kecederaan sewaktu mereka memperoleh kemenangan 1-0 ke atas PSM Makassar dalam aksi Piala Shopee pada Rabu.

Sementara Safawi tidak boleh diturunkan kerana terikat dengan perjanjian pinjaman antara Terengganu dengan JDT.

Perlawanan pada Sabtu akan menjadi pertemuan kedua daripada tiga aksi berturut-turut Terengganu dan JDT dalam tempoh dua minggu.

Sebelum ini, Terengganu tumpas 0-4 kepada JDT dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram