TERENGGANU FC (TFC) yang turun tanpa tiga tonggak utama tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Skuad Peteh tidak dapat menurunkan tonggak penting, Safawi Rasid yang berstatus pinjaman. Ditambah pula dengan kehilangan dua pemain utama iaitu Manuel Ott dan juga bek kiri, Alif Zakaria susulan dilanda masalah kecederaan.
Permainan dimulakan dengan menyaksikan hantaran pendek dilakukan oleh kedua-dua pasukan namun jelas Harimau Selatan lebih berkesan dalam menggunakan taktikal berkenaan dalam menunjukkan penguasaan permainan mereka.
Selepas 13 minit permainan, skuad Harimau Selatan berjaya membuka jaringan apabila tendangan leret daripada Juan Muniz melepasi penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.
Kontroversi tercetus apabila bola terkena tangan pemain import Sepanyol JDT, Iker Undabarrena pada minit ke-22 permainan namun dinafikan oleh pengadil perlawanan, Ahmad Zuhadi Dzulkifli dan melepaskan peluang skuad Sang Penyu untuk mendapatkan sepakan penalti.
Meskipun JDT mendahului babak pertama namun penyokong Harimau Selatan tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan skuad kendalian Hector Bidoglio.
“Teruk betul JDT main, macam latihan sahaja,” kata penyokong Harimau Selatan, Muhammad Sani.
“Kenapa JDT main macam hilang fokus sahaja,” komen penyokong Harimau Selatan, Saiful Adli.
“Finishing pun terkedu, crossing jauh sasaran. Santai sahaja corak permainan malam ini,” kata penyokong JDT, Azmi Family.
Bersambung babak kedua, perlawanan masih dikuasai oleh JDT namun skuad kendalian Badrul Afzan tidak putus ada untuk melakukan serangan demi serangan.
Bagaimanapun, kualiti penyudah yang dimiliki trio serangan Terengganu iaitu Akhyar Rashid, Engku Nur Shakir dan Isamaheel Akinade tidak berhasil menterjemahkan peluang kepada gol.
Keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat buat kali kedua di Gong Badak setelah aksi separuh akhir Piala Malaysia tempoh hari.
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan berentap sekali lagi bagi aksi timbal balik Piala Malaysia pada 1 Februari ini.
Bagi kedudukan Liga Super, JDT semakin jauh meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC, dengan mengumpul 52 mata, berbanding skuad Gergasi Merah yang mengumpul 39 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram