MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan akan diketahui dalam tempoh satu bulan.
Menurut laporan Buletin TV3, beliau berkata, pihaknya perlu melakukan proses semakan terlebih dahulu bagi menentukan status kategori permohonan pemain.
Ia termasuk sama ada mereka mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.
BACA LAGI: Sebelum Harimau Malaya, Selangor FC antara 3 kelab pernah sarung jersi Puma
“Kalau dia ada salasilah, ada kaitan dengan rakyat Malaysia, yang ada pada kategori Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan, tapi kalau mereka tiada pertalian, permohonan akan berada di bawah Perkara 19.
“Kedua-dua jalur itu adalah jalur yang membolehkan pemain terbabit mendapat kewarganegaraan untuk membolehkan mereka mewakili Malaysia jika terpilih oleh jurulatih.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Proses itu kalau sekarang, kita boleh proses mengikut undang-undang, maknanya saya sudah teliti dan semua sepakat, maka boleh diluluskan sepantas satu bulan atau tidak lebih 12 bulan,” katanya.
Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas hadir Program Sua Mesra KDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim, Kedah pada Sabtu.
Beliau menambah, permohonan itu dalam proses mendapat kelulusan kerajaan dengan FAM turut mengesahkan mereka sedang melengkapkan dokumen bagi empat pemain lain bagi tujuan sama.
Langkah merekrut pemain warisan itu merupakan antara perubahan cuba dilaksanakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meningkatkan prestasi Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram