Bergelut peringkat kumpulan, Safawi Rasid-Brendan Gan masih optimis TFC, KL City muncul semifinalis Piala Shopee


  • Podium
  • Isnin, 20 Jan 2025

Safawi (tengah) berharap Terengganu dapat mara jauh dalam Piala Shopee. — AFF

BINTANG utama Terengganu FC, Safawi Rasid optimis akan peluang kelabnya untuk meneruskan kemaraan dalam Piala Shopee walaupun prestasi mereka terumbang-ambing.

Pada dua perlawanan awal, Terengganu bermula perlahan apabila mereka tumpas 2-3 kepada Svay Rieng serta seri 1-1 semasa bertemu Thanh Hoa - kedua-duanya di laman sendiri.

Tetapi, peluang itu dihidupkan semula selepas mereka memenangi aksi ketiga dengan kemenangan besar 5-0 bertemu Shan United di tempat lawan.

BACA LAGI: Manuel Ott optimis TFC muncul semifinalis, semakin padu bawah sentuhan bos no.1

BACA LAGI: Terpaksa berputih mata, Lion City Sailors calar rekod kebal KL City

Bagi Safawi, Terengganu tiada pilihan lain selain meraih kemenangan dalam dua baki perlawanan menentang lawan sukar iaitu PSM Makassar serta BG Pathum United.

Safawi Rasid and fans

Safawi (kiri) yakin Terengganu ada peluang ke separuh akhir Piala Shopee. — AFF

"Peluang itu masih ada dan kerana itu saya harap rakan sepasukan semua bersedia mengerah segala kudrat dalam dua aksi selepas ini kerana kami amat memerlukan mata maksimum.

"Sudah tentu kejayaan menewaskan Shan United 5-0 di laman lawan pada Rabu lalu memberikan motivasi buat kami berdepan PSM Makassar dan juga BG Pathum United nanti.

"Saya juga berasa lebih tenang beraksi musim ini serta turut berpuas hati dengan prestasi saya musim ini. Saya rasa lebih fokus menghadapi setiap perlawanan," kata Safawi.

Dalam pada itu, harapan serupa disuarakan oleh bintang Kuala Lumpur City FC, Brendan Gan mengenai peluang kelabnya untuk mara ke pusingan seterusnya.

Selepas memenangi dua perlawanan awal, rentak mereka terganggu selepas tumpas kepada lawan dari Seberang Tambak, Lion City Sailors di Singapura.

From left Ott, Gan, Safawi and Lambert were happy to entertain the fans - Sportfive

Brendan Gan (dua dari kiri) bakal perkuat semula skuad KL City selepas pulih dari kecederaan. — AFF

Mereka perlu meraih keputusan positif berdepan Cong An Hanoi FC dari Vietnam dan wakil Thailand, Buriram United untuk mara.

"Sudah pasti kami masih berpeluang meneruskan kemaraan walaupun ia kelihatan sukar. Aksi berdepan Hanoi dan Buriram selepas ini hanya dua perlawanan yang tiada perlawanan timbal balik, jadi kami hanya perlu pastikan aksi terbaik dalam dua perlawanan itu.

"KL City sebelum ini adalah cup specialist kerana apabila bersaing dalam pertandingan sebegini, kebiasaannya kami berjaya meraih keputusan positif," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram