HARAPAN Terengganu FC (TFC) untuk ke separuh akhir Kejuaraan Kelab Asean (Piala Shopee) semakin bersinar selepas menjinakkan pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu.
Skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali yang tampil dengan motivasi kemenangan ke atas Shan United ternyata berdepan tentangan sengit The Red Fish bimbingan Bernardo Tavares.
Bagaimanapun jaringan sepakan penalti disempurnakan kapten skuad Penyu, Safawi Rasid pada minit ke-65 itu menjadi pemisah kedua-dua jagoan Asean tersebut yang menyaksikan Terengganu keluar pemenang di Gong Badak.
BACA LAGI: TFC pertaruh barisan terkuat hadapi PSM Makassar, Safawi-Azam Azmi disebut jadi sandaran utama
Meskipun pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu diangkat sebagai hero pada perlawanan getir itu, legenda kelab iaitu Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor sebaliknya melihat perkara berbeza.
Che Ku Marzuki melihat pemain berusia 28 tahun itu tidak memberikan segala kudratnya untuk Terengganu, sambil mengharapkan agar Safawi beraksi seperti ketika zaman kemuncaknya bersama Harimau Selatan.
"Sekiranya Terengganu nak lepas separuh akhir atau pusingan akhir perlulah ada perubahan seperti kelajuan menyerang dan bertahan. Pemain juga perlu semangat juang yang tinggi.
"Pemain seperti Safawi sangat lemah untuk bergerak, persembahan 60 peratus sahaja. Safawi sekadar ambil sepakan set pieces saja. Lain halnya dengan Akhyar pula boleh bawa bola masuk dalam box dengan larian yang kencang. Sama juga Ismahil Akinade.
"Safawi dan Akhyar, kedua-dua pemain ini daripada JDT sepatutnya boleh bawa semangat juang kesungguhan bersama JDT ke dalam TFC, sebaliknya Safawi tidak buat hantaran pembunuh kepada pemain," katanya kepada Majoriti.
Kemenangan itu membolehkan TFC menduduki tempat kedua dengan tujuh mata di belakang kelab liga Thailand, BG Pathum (lapan mata). Tempat ketiga Pathum dengan tujuh mata, Dong A Thanh Hoa (enam mata), Svay Rieng (empat mata) dan Shan United tanpa sebarang mata.
Terengganu selepas ini akan berdepan Pathum dalam perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium BG, Thanyaburi, pada 5 Februari depan dengan dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram