
TERENGGANU FC berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kali kedua berturut-turut dalam tempoh lapan hari dengan kedua-dua kelab beraksi sekali lagi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak pada Sabtu.
Cerita sebelum ini menyaksikan SSMZA menjadi saksi tumbangnya Terengganu kepada JDT 0-4 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Namun begitu, aksi pada Sabtu mempunyai kisah yang berbeza dan walaupun berdepan lawan serupa, Terengganu mempunyai pelbagai sebab bagi memastikan tiga mata tidak dibawa pulang JDT.
BACA LAGI: Bukan perlawanan mudah, kredit rakan sepasukan kerana hidupkan peluang TFC — Safawi Rasid
Momentum Piala Shopee
Selepas tumpas dalam Piala Malaysia, Terengganu meneruskan cabaran dalam Piala Shopee apabila mereka berjaya menewaskan PSM Makassar.
Kemenangan menewaskan pendahulu kumpulan A itu memberikan booster buat Terengganu yang wajib menang baki kedua-dua perlawanan untuk membolehkan skuad Penyu mara ke separuh akhir.
Momentum Piala Shopee boleh diteruskan Terengganu di Liga Super. — Facebook/Terengganu FC
Keputusan 1-0 diraih di laman sendiri itu membina momentum buat Terengganu untuk terus mendapatkan keputusan baik walaupun selepas ini bertemu JDT.
Dengan sokongan padu oleh penyokong, tidak mustahil skuad Penyu mampu melakar kejutan.
Prestasi Rahadiazli
Satu perkara yang boleh menjadi penyumbang kepada kemampuan Terengganu untuk menyekat JDT adalah prestasi semasa penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
Penjaga gol itu menjadi pilihan pengendali, Badrul Afzan bagi mengawal gawang Terengganu dan prestasinya cukup baik dengan berjaya mencatatkan lima nirbolos (clean sheet) dalam lapan penampilan untuk jurulatih itu.
Rahadi beraksi baik sejak diberikan peluang oleh Badrul. — Facebook/Terengganu FC
Walaupun semasa bertemu JDT, Rahadi memboloskan empat gol tetapi dia masih beraksi baik dengan menepis beberapa percubaan penting Harimau Selatan.
Badrul sekali lagi memerlukan persembahan baik Rahadi dan penyokong Terengganu harus memberikan sokongan padu kepadanya serta bintang skuad Penyu yang lain.
Peluang dekati Top 3
Terengganu masih mempunyai peluang untuk memasuki kelompok tiga teratas Liga Super jika berjaya menewaskan JDT.
Ketika ini, Terengganu di kedudukan keempat, dibezakan dengan lima mata oleh Sabah FC yang menghuni tangga ketiga.
Bertemu JDT tidak pernah mudah buat TFC. — Facebook/Terengganu FC
Terengganu mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Sabah, jika mereka menggunakan sebaiknya situasi tersebut dengan sebaiknya pasti kedudukan tiga terbaik dalam liga boleh digenggam.
Aksi bertemu JDT bukannya mudah, tetapi dalam bola sepak apa saja boleh terjadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram