TERENGGANU FC (TFC) terpaksa 'bermandi peluh' sebelum menewaskan wakil kelab Indonesia, PSM Makassar FC 1-0 dalam saingan Piala Shopee di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu.
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu berdepan cabaran sukar kerana wakil kelab Indonesia itu belum tewas dalam tiga perlawanan Kumpulan A sebelum ini.
Begitupun, kapten Sang Penyu, Safawi Rasid muncul watak penting buat Sang Penyu selepas jaringannya memastikan TFC meraih tiga mata berharga sebelum bertandang ke tempat lawan menentang kelab Thailand, BG Pathum United pada 5 Februari nanti.
BACA LAGI: 'Macam ada yang hilang', kelibat Rizal Ghazali-Assifuah tak kelihatan di bumi Kenyalang
BACA LAGI: Hilang fokus di Likas, Martin Stano akui peluang di Temerloh 50-50
Safawi (dua kanan) mencetak gol penting buat Sang Penyu untuk menghidupkan peuang Terengganu ke separuh akhir Piala Shopee. — Facebok/TFC
"Saya rasa perlawanan ini jauh daripada mudah, ia adalah satu pertarungan yang sukar. Walaupun begitu, saya perlu memuji rakan sepasukan atas usaha mereka dan kini saingan dalam kumpulan terbuka luas," katanya.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Badrul Afzan Razali tersebut mendaki dua anak tangga di kedudukan kedua Kumpulan A dengan berkongsi tujuh mata dengan PSM Makassar.
Manisnya, kemenangan itu juga mencerahkan peluang skuad Sang Penyu untuk mara ke separuh akhir, namun wajib menang berdepan pendahulu, BG Pathum United yang berkelebihan satu mata.
“Perlawanan seterusnya kami akan menentang BG Pathum dan kami berazam untuk memberikan yang terbaik untuk memastikan tempat ke separuh akhir.
"Saya percaya perlawanan akan datang akan menjadi sengit kerana kedua-dua pasukan berjuang untuk kelayakan. Ia menjanjikan pertembungan yang menarik," tambahnya. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram