KELAB Pantai Timur, Terengganu FC masih berpeluang untuk menjulang kejuaraan musim ini memandangkan cabaran Piala Shopee belum ternoktah.
Dengan peluang masih terbuka untuk ke separuh akhir, Terengganu bagaimana pun perlu melepasi dua cabaran getir bermula dengan PSM Makassar di tempat sendiri pada Rabu.
Selepas itu, skuad kendalian Badrul Afzan mesti tidak kalah kepada wakil Thailand, BG Pathum United di tempat lawan.
BACA LAGI: TFC pertaruh barisan terkuat hadapi PSM Makassar, Safawi-Azam Azmi disebut jadi sandaran utama
Para pemain Terengganu perlu berusaha keras sepanjang 90 minit permainan. — Facebook/Terengganu FC
Selepas bermula perlahan dalam dua perlawanan pertama, Terengganu berjaya meraih kemenangan 5-0 ke atas Shan United sekali gus memastikan peluang masih terbuka.
Namun, mereka tidak ada pilihan lain melainkan menang kedua-dua baki perlawanan supaya peluang untuk mara cerah kerana ketika ini mereka menduduki tangga keempat dalam kumpulan A.
Bagi legenda kelab, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, sudah tiba masanya untuk Terengganu mengutamakan Piala Shopee sebagai satu-satunya peluang untuk meraih piala berbanding Piala Malaysia yang semakin tertutup peluangnya.
Sebagai rekod, Terengganu tewas 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama pertandingan itu.
Legenda Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor. — Agensi
"Tumpuan terarah kepada membaiki kedudukan di Liga Super dan mendapatkan kejuaraan di Piala Shopee kerana itu yang masih ada peluang untuk mendapatkannya.
"Peluang Terengganu untuk meraih Piala Malaysia sudah dikatakan tertutup, tetapi minit permainan para pemain mesti dijaga supaya ia boleh memberi manfaat semasa Piala Shopee," kata Che Ku Marzuki kepada Majoriti.
Bagi Che Ku Marzuki, perkara penting yang perlu skuad Badrul miliki adalah kesungguhan semasa beraksi. Sekiranya mereka memberikan yang terbaik di atas padang, peluang mendapatkan kemenangan itu ada.
Perubahan dari segi kesebelasan utama dan formasi juga boleh dilakukan mengambil kira aksi terakhir mereka berdepan JDT.
"Fokus mesti diberikan kepada latihan. Jika perlu, perubahan boleh dilakukan sedikit terhadap barisan pemain dan formasi. Semasa berdepan JDT, Terengganu menggunakan formasi 4-5-1.
"Apa yang penting adalah kesungguhan pemain itu sendiri, ia boleh menjadi kunci utama bagi mendapatkan kemenangan di tempat sendiri," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram